EKONOMI › BERITA






TM Kelantan Sasar 17,424 Premis Dapat HSBB


Tarikh kemaskini: 19/06/2017

KOTA BHARU, 19 Jun (Bernama) -- Telekom Malaysia Berhad (TM) Kelantan menyasarkan 17,424 premis akan mendapat perkhidmatan telekomunikasi melalui rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) sehingga akhir tahun ini.

Pengurus Besar TM Kelantan, Azman Yusof berkata sehingga kini, 8,536 premis telah dilengkapi perkhidmatan tersebut dan kerja-kerja pemasangan sedang dilakukan bagi melengkapkan lagi 8,888 premis.

"Jumlah kos projek HSBB di Kelantan adalah RM20 juta setakat ini dan perkhidmatannya melibatkan ibu sawat Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa serta akan diperluaskan di kawasan Jeli," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa TM Kelantan Bersama Pengamal Media Kelantan di sini, malam ini.

Azman berkata TM juga membangunkan rangkaian Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan kawasan sasaran adalah di lokasi yang masih belum ada perkhidmatan HSBB.

"Projek SUBB tertumpu di kawasan tengah Kelantan yang melibatkan 11 ibu sawat dengan membabitkan kos RM17 juta dan kami akan membangunkan perkhidmatan tersebut di empat lagi kawasan ibu sawat dengan anggaran kos RM10 juta," katanya.

Beliau berkata secara umumnya, TM telah menawarkan perkhidmatan jalur lebar hampir ke seluruh negeri ini dengan harapan akan mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

"Kami akan terus bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ke arah mencapai sasaran tersebut (jurang digital)," katanya.

Azman berkata sehingga kini, pihaknya mempunyai 44,000 pelanggan perkhidmatan rangkaian jalur lebar di negeri ini, melibatkan lebih 1,800 daripadanya adalah pelanggan UniFi.

-- BERNAMA