EKONOMI › BERITA






Kerajaan Terus Komited Pastikan Pertumbuhan Ekonomi Kekal Kukuh, Kata Najib

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan kerajaan akan terus komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh dalam ketidaktentuan ekonomi global.

Polisi-polisi yang digubal kerajaan juga akan berpaksikan prinsip inklusiviti, dengan mereka yang kurang bernasib baik akan terus dibantu, kata beliau dalam catatan terbaru di blognya, NajibRazak.com. bertajuk 'Cadangan Hala Tuju Ekonomi Negara'.

"Ini penting dalam memastikan kita mencapai visi untuk menjadi antara 20 negara teratas menjelang 2050, Insya-Allah," kata beliau yang mengadakan perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara ke arah mencapai Transformasi Nasional 2050 bersama 28 wakil berkepakaran dalam bidang ekonomi dan kewangan, semalam.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata hampir semua wakil bersetuju bahawa fokus patut diberikan dalam pembangunan modal insan dan peningkatan produktiviti dalam menyediakan Malaysia ke arah 2050.

Perdana Menteri turut gembira kerana langkah kerajaan melaksanakan Zon Perdagangan Bebas Digital telah mendapat maklum balas positif.

Sebagai contoh, beliau menerima baik input yang meminta kerajaan memberi fokus kepada penyediaan tenaga kerja digital dalam memastikan negara benar-benar bersedia untuk menjadi hab digital ekonomi.

Terdapat juga cadangan agar kerajaan lebih agresif dalam membantu perniagaan berbentuk 'pemula niaga'.

Dari segi perancangan jangka panjang, Najib tertarik dengan cadangan agar negara mengambil peluang lokasinya yang strategik dengan menjadi satu platform ekonomi yang kukuh bagi negara-negara pesat membangun.

Negara juga disaran supaya lebih terbuka dalam membawa masuk pakar dari luar bagi memastikan tiada jurang dalam permintaan dan penawaran.

Najib turut mengambil maklum pandangan yang diutarakan oleh Dr Zulkiply Omar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Datuk Seri K. Govindan dari RAM Holdings Bhd berkenaan industri pertanian dalam memastikan jaminan makanan dalam jangka masa panjang.

Selain itu, terdapat cadangan agar lebih banyak pameran dijalankan bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan sektor peruncitan dalam pasaran modal dan penggunaan "robo-advisor" dalam pengurusan kewangan.

"Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan sesi perbincangan itu," kata Najib.

-- BERNAMA