EKONOMI › BERITA






MIGHT Dan Bloktex Mahu Bangunkan Industri Blockchain

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Bloktex Sdn Bhd sedang bekerjasama bagi membangunkan industri 'blockchain' negara.

Pengarah Program Blockchain MIGHT, Mastura Ishak, berkata blockchain merupakan teknologi yang bertindak sebagai platform bagi memindah serta menguruskan nilai dengan pantas, selamat dan ekonomik.

"Malaysia mula berminat dengan blockchain sejak dari tahun lepas dan walaupun ia merupakan industri yang agak baru dengan hanya beberapa peneraju global, kami percaya Malaysia mampu cemerlang jika fokus dibuat ke atas segmen khusus dalam industri tersebut.

"Kami melihat sambutan yang menggalakkan dari peneraju asing yang berminat menubuhkan pusat kecemerlangan untuk blockchain di sini bagi mendidik generasi muda," katanya kepada pemberita semasa Persidangan Blockchain Kuala Lumpur di sini hari ini.

Katanya, blockchain adalah sebahagian daripada ekonomi digital dan telah dikenalpasti dalam Forum Ekonomi Dunia sebagai 10 teknologi terbaik yang muncul dalam 2016.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini telah dianjurkan secara bersama oleh MIGHT dan Bloktex, ia menjadi platform bagi memahami teknologi, potensi dan kelemahan serta masa depan teknologi terbabit.

Ketua Pegawai Kewangan Bloktex, Ahmad Suhairi Samsudin, berkata syarikatnya mahu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai blockchain serta aplikasi sistem itu, yang sebenarnya lebih daripada sekadar teknologi kewangan.

"Blockchain menyediakan jaminan keselamatan yang lebih baik dengan sistem pelayan yang tidak berpusat. Agak mustahil untuk menggodam sistem tersebut kerana pelayannya terletak di banyak lokasi dan terpisah oleh blok.

"Kerajaan amat terbuka dengan teknologi ini. MIGHT telah memperkenalkan kami beberapa syarikat berkaitan kerajaan yang berminat untuk bekerjasama dengan kami bagi menjadikan pelayan mereka lebih selamat," katanya.

-- BERNAMA