EKONOMI › BERITA






Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Tumpu Peningkatan Keupayaan Dan Daya Saing PKS - Mustapa


KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NeSR) yang dirangka oleh Majlis e-Dagang Kebangsaan (NeCC) memberi fokus kepada aspek peningkatan keupayaan dan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata antara aspek yang diberi perhatian ialah usaha untuk meningkatkan promosi dan pemasaran e-Dagang dalam kalangan PKS dan menubuhkan pusat sehenti, 'eBusiness Resources' bagi PKS.

Katanya pelan berkenaan turut menumpukan kepada aspek meningkatkan keberkesanan latihan dan pembangunan kepakaran dalam bidang e-Dagang dalam kalangan PKS.

"Kerajaan komited menggalakkan PKS tempatan mempromosikan produk mereka ke pasaran antarabangsa. Ia selari dengan sasaran yang telah ditetapkan di bawah pelan induk PKS (2012-2020) untuk meningkatkan syer PKS kepada nilai ekport sebanyak 23 peratus menjelang 2020," katanya di Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wee Jack Seng (BN-Tanjung Piai) mengenai usaha kementerian meningkatkan keberkesanan sistem e-Dagang dan ekosistem bagi maningkatkan pencapaian PKS.

Mustapa berkata NeCC yang ditubuhkan pada Disember 2015 terdiri daripada 21 kementerian dan agensi yang terlibat secara langsung dalam agenda e-Dagang.

Katanya, antara inisiatif ke arah pembangunan ekosistem e-Dagang yang telah dilaksanakan NeCC sejak penubuhannya selain pelan hala tuju strategik ialah penubuhan tiga hab eFULFILMENT di Malaysia oleh Pos Malaysia, SnT Global Logistics Sdn Bhd dan YCH Logistics Sdn Bhd.

Beliau berkata NeCC juga telah melaksanakan inisiatif eMarketplaces bagi membantu lebih banyak PKS mempromosi produk dan perkhidmatan ke peringkat global.

Selain itu, katanya Sistem ezBiz Online (ezbiz.ssm.gov.my) juga telah diperkenalkan bagi memudahcara pendaftaran perniagaan termasuk perniagaan dalam talian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

-- BERNAMA