EKONOMI › BERITA






MITI Akan Raikan Jubli Emas ASEAN Dengan Pelbagai Program, Aktiviti


KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan meraikan ulang tahun ke-50 ASEAN dengan pelbagai program dan aktiviti bagi meningkatkan lagi perdagangan, pelaburan dan hubungan sesama rakyat.

Program dan aktiviti itu akan mengambil kira kumpulan sasaran, termasuk sektor awam dan swasta, kerajaan negeri, institusi pendidikan tinggi, dewan perniagaan, serta pertubuhan masyarakat awam.

"Penting untuk mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi tentang manfaat ASEAN dalam kalangan rakyat," kata Menteri Miti Datuk Seri Mustapa Mohamed pada pelancaran awal program Meraikan Ulang Tahun Ke-50 ASEAN, di sini, hari ini.

Mengenai tonggak ekonomi, Miti merancang beberapa program dan inisiatif berkaitan dengan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan akan dilaksanakan sepanjang 2017.

Program-program tersebut ialah, seminar perdagangan dan pelaburan antara-ASEAN, Program Perdagangan Sempadan ASEAN, Minggu ASEAN SME, kem Belia ASEAN dan Forum Pelaburan ASEAN.

Mustapa berkata tumpuan ASEAN sekarang adalah ke arah penyepaduan ekonomi dalam melaksanakan Pelan Tindakan AEC 2025 yang dilancarkan pada 2015.

"ASEAN juga akan meneruskan usaha mengurangkan halangan perdagangan dan pelaburan terutamanya yang sering dirujuk sebagai langkah-langkah di sebalik sempadan dan mengurangkan kos pematuhan," katanya.

-- BERNAMA