EKONOMI › BERITA






Syarikat Baharu Perlu Catat Untung Dahulu Sebelum Teroka Ke Luar Negara - CEOo Pixels

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Syarikat tempatan yang baru bermula harus membangunkan petunjuk prestasi utama (PPU) agar mereka boleh berdiri sendiri dan meraih keuntungan dalam tempoh lima tahun operasi sebelum meneroka ke luar negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pixels Ltd Kevin Huang.

"Syarikat baru tidak seharusnya memikirkan untuk meneroka ke luar negara pada hari mereka memulakan perniagaan mereka kerana anda akan mempunyai strategi yang salah sekiranya rancangan tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan.

"Sebaliknya mereka seharusnya mula memikirkan bagaimana mereka mahu membina perniagaan mereka dan pada masa yang sama menangani cabaran pasaran dan membetulkannya," katanya kepada Bernama di luar acara Persidangan Wild Digital 2016 selama dua hari, di sini, hari ini.

Huang, anak kelahiran Malaysia yang telah bekerja di Hong Kong selama hampir 15 tahun, merupakan penceramah pada perbincangan panel setengah jam yang bertajuk "Asean Exits" pada persidangan tersebut.

Tidak seperti perniagaan di negara-negara maju, syarikat Asia masih ketinggalan dalam penggunaan teknologi yang kalau digunakan dengan meluas boleh melonjakkan perniagaan mereka, katanya.

"Bagaimanapun, dalam tempoh dua tahun lepas banyak syarikat telah menunjukkan minat bagaimana untuk membina perniagaan yang bagus, dan ia dijangka memberi prosek yang baik (termasuk penerokaan ke luar negara).

"Jika tiada peluang di sana terdapat pilihan lain termasuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO)," katanya sambil menambah Pixels memilih untuk melaksanakan IPO dan penyenaraian di pasaran London sebelum meneroka ke negara-negara lain.

Pixels ialah syarikat teknologi pengiklanan pelbagai skrin utama di Asia yang membolehkan pengiklan dan jenama mencapai pelanggan dan objektif pemasaran mereka dalam talian.

Pixels yang ditubuhkan pada 2002, beribu pejabat di Hong Kong, dengan pejabat di Malaysia, Singapura dan Shanghai.

-- BERNAMA