

Other News
- Somalia Seeks Greater Engagement By Japan In Peace Building Process
- Pertamina To Issue Global Bond Worth US$1.5 Billion
- Smart Highway Offers 10 Per Cent Toll Discount On Sunday
- News Focus: Indonesian Muslims Welcome Obama Planned Visit
- Russian Coin Found In Matsuyama Could Be Token Of Thwarted Romance
November 26, 2009 16:03 PM
Jerman Tawar Pendidikan Percuma, Kata Duta
Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Rakyat Malaysia seharusnya mengambil peluang terhadap dasar pendidikan percuma Jerman khususnya dalam bidang sains dan kejuruteraan bagi membantu mengubah negara menjadi negara industri.
Dalam temu ramah dengan Bernama, Duta Jerman ke Malaysia Dr Gunter Gruber berkata negaranya mempelawa Malaysia untuk menghantar generasi muda yang berbakat ke Jerman untuk pendidikan dalam "apa yang kami lakukan terbaik".
Jerman telah menawarkan program in sejak 20 tahun dahulu, katanya.
"Apa yang kami tahu, Malaysia mahu menjadi negara industri menjelang 2020, kemudian ke peringkat berasaskan sains dan ekonomi bernilai tinggi. Jika Malaysia mempunyai orang yang layak atau yang berilmu, Malaysia boleh melangkah ke peringkat seterusnya," kata beliau.
Katanya rakyat Malaysia harusnya memilih yang terbaik apabila berkait dengan pengetahuan, sama ada di United Kingdom, Australia atau Eropah.
"Saya rasa Jerman mempunyai banyak tawaran, terutama segala yang berkaitan kejuruteraan dan sains.
"Kami mempunyai rekod prestasi yang baik, kami mempunyai industri automotif terbaik dan kejuruteraan mekanikal terbaik di dunia, kami adalah peneraju dalam teknologi alam sekitar.
Jadi, kenapa tidak ke negara yang menjadi pengasas kepada kesemua pembangunan ini.
Beliau berkata universiti Jerman amat mengalu-alukan generasi muda Malaysia belajar di sana.
Dr Gruber berkata negara seperti Malaysia yang berhasrat menjadi mercu penting di dunia hari ini perlu mempelbagaikan latar belakang pendidikannya.
"Eropah menawarkan peluang yang sangat baik bagi tujuan ini dan tentu sekali Jerman telah membuktikan ia adalah negara lebih maju dalam sains dan teknologi," kata beliau.
Beliau berkata universiti Jerman mungkin tidak dalam 10 universiti terbaik, "tetapi analisis kami berlainan, ranking kami tidak di peringkat universiti tetapi di peringkat fakulti.
"Bila kita memilih universiti untuk mempelajari kejuruteraan mekanikal, kita pilih fakultinya. Dan di sini, tidak disangsikan lagi, kami adalah peneraju di dunia.
"Jadi, kenapa tidak pergi kepada yang terbaik, kepada peneraju, dan yang menariknya ia percuma untuk rakyat Jerman dan Malaysia," kata beliau.
Dr Gruber berkata Jerman percaya pendidikan adalah isu teras dalam memupuk persefahaman antarabangsa, oleh kerana itulah pembayar cukai Jerman membiayai universiti, kolej teknikal dan pendidikan untuk semua orang di dunia.
Banyak negara seperti Indonesia, China, Vietnam, Korea dan Iran merebut peluang ini dan buat masa ini, terdapat lebih dua juta pelajar asing yang manfaatkan dasar pendidikan percuma di Jerman, kata beliau.
"Trend pelajar Malaysia semakin meningkat tetapi jumlah semasa hanya 1,000 dan masih banyak ruang untuk ramai lagi pelajar," kata beliau.
Beliau berkata tidak ada tokoh Malaysia, sama ada dalam kerajaan, media atau komuniti perniagaan yang mempunyai latar belakang pendidikan Jerman, tetapi "ada ribuan di Indonesia, di China dan Vietnam ratusan ribu, dan Korea berpuluh ribu. Jadi kenapa tidak Malaysia?," kata beliau.
Beberapa universiti Jerman kini menawarkan kursus dalam bahasa Inggeris.
-- BERNAMA
We provide
(subscription-based)
news coverage in our Newswire service.

