06 November, 2009 19:47 PM

FAP Beri Jaminan Selesaikan Tunggakan Dan Sertai Liga Musim Depan

PULAU PINANG, 6 Nov (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) memberi jaminan pasukan itu akan menyertai Liga Malaysia musim depan selepas menyelesaikan beberapa masalah berbangkit, kata Presidennya Datuk Seri Zahrain Hashim.

Katanya beliau telah menemui Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad semalam bagi membincangkan dan memberi penjelasan mengenai kedudukan FAP.

"Sebelum ini FAM memutuskan untuk tidak membenarkan Pulau Pinang menyertai Liga Malaysia musim depan kerana FAP mempunyai tunggakan gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pemain.

"Ekoran itu, saya telah berjumpa dengan Azzuddin semalam dan hasilnya FAP diberi masa seminggu untuk menyelesaikan masalah berbangkit itu," katanya kepada pemberita di sini hari Jumaat.

Zahrain berkata pihaknya mengambil langkah segera bagi mengelak pasukan Pulau Pinang daripada digugurkan musim depan dengan melunaskan tunggakan gaji tiga pemain iaitu sebanyak RM45,000.

"Berhubung caruman KWSP, kami telah berbincang dengan pihak berkenaan yang bersetuju membenarkan FAP membayar secara ansuran dan saya yakin semua masalah ini akan berjaya diselesaikan mengikut masa yang diberikan," katanya.

Zahrain bagaimanapun berkata tindakan yang dikenakan oleh FAM terhadap FAP dianggap tidak wajar tanpa perbincangan dengan pengurusan pasukan terlebih dahulu dan berharap ia tidak berulang lagi pada masa depan kerana ini memberi tanggapan negatif kepada penyokong dan penaja.

Isnin lepas, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM memutuskan Pulau Pinang antara enam pasukan yang hilang kelayakan menyertai Liga Malaysia 2010 kerana gagal memenuhi syarat-syarat FAM seperti melunaskan gaji pemain-pemain yang tertunggak dan tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pemain.

Lima pasukan lain ialah Kelantan, Perak, Melaka, Pahang dan pasukan kelab, Shahzan Muda sementara pasukan UPB-MyTeam dan Proton FC mengesahkan untuk menarik diri daripada persaingan liga musim depan.

Zahrain berkata skuad Harimau Kumbang akan hadir mewarnai bola sepak tanah air musim depan dengan pasukan yang lebih kuat.

"Kita dalam proses mencari pemain-pemain terbaik dan dijangkakan hujung bulan ini semua pemain akan kita kenalpasti," katanya.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.