Berita-berita Lain
04 November, 2009 14:50 PM
Kelab Penyokong Bola Sepak NS Anjur Konvoi Ke Bukit Jalil
SEREMBAN, 3 Nov (Bernama) -- Kelab Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan akan menganjurkan program konvoi berkereta untuk menyaksikan pasukan Negeri Sembilan beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Presidennya Ahmad Zaini Baharun meminta mereka yang ingin menyertai konvoi tersebut supaya berkumpul di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, pada 2 petang pada hari tersebut.
"Kita jangka lebih 50 buah kereta menyertai konvoi ke Bukit Jalil. Kita juga minta mereka yang menyertai konvoi ini supaya memakai baju berwarna kuning dan mengibarkan bendera Negeri Sembilan," katanya di sini Rabu.
Negeri Sembilan mengalahkan Terengganu 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu lepas untuk mara dengan agregat 4-1 manakala Kelantan layak ke perlawanan akhir setelah menyingkirkan Perlis dengan agregat 5-1.
Ahmad Zaini berkata Kelab Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan akan membawa pasukan kompang dan gendang bagi memeriahkan lagi suasana di Bukit Jalil.
Mereka yang ingin mendapatkna maklumat lanjut diminta menghubungi Hazrin Hamzah di talian 012-6885002.
Sebanyak 20,000 tiket menyaksikan perlawanan akhir itu kini boleh dibeli di STAR dan Wisma Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan. Tiket berharga RM20 itu dijual sehingga Jumaat ini.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




