04 November, 2009 13:06 PM

Peteh Syor PBSNT Cari Pemain Berkualiti Hadapi Liga Malaysia 2010

KUALA TERENGGANU, 4 Nov (Bernama) -- Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH) mengesyorkan supaya Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mencari pemain lebih baik sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Setiausahanya Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata langkah itu perlu berikutan kegagalan Terengganu memasuki pertandingan akhir selepas disingkirkan Negeri Sembilan pada perlawanan separuh akhir musim ini.

Pasukan Terengganu perlu mencari pemain-pemain baru yang berkualiti dan berdedikasi bagi menghadapi musim baru yang lebih mencabar, katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Wn Mohd Azmi berkata PBSNT juga perlu bersikap profesional dalam mengendalikan pasukan.

"Kita (perlu) buka episod baru dengan iltizam dan azam baru supaya Terengganu lebih berjaya pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata PETEH juga kecewa dengan perkembangan sukan itu kebelakangan ini yang menyaksikan ramai anak watan Terengganu yang berbakat dalam sukan bola sepak berhijrah ke negeri lain.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.