Berita-berita Lain
04 November, 2009 12:53 PM
1MRT Guna 2 Jentera F1 Lotus, Giat Lakukan Persiapan Musim F1 2010
Daripada Zulhilmi Supaat
NORFOLK, 4 Nov (Bernama) -- Pemilik pasukan Formula Satu Malaysia, 1Malaysia Racing Team (1MRT) Sdn Bhd akan memasang dan menguji dua kereta Formula One (F1) Lotus Racing sebelum perlumbaan pertama F1 Dunia 2010 yang akan bermula di Bahrain pada Mac tahun depan.
Ketua Pegawai operasi pasukan itu, Keith Saunt berkata chasis kereta itu kini dalam proses pembuatan di Jerman manakala bahagian muncung hadapan kereta, struktur impak kiri dan kanan kereta, komponen kotak gear, sistem suspensi depan dan belakang akan siap sepenuhnya menjelang akhir bulan ini.
Menurutnya pasukan itu memerlukan sekurang-kurangnya lapan minggu untuk menghimpunkan kesemua komponen kereta berkenaan sebelum diuji sepenuhnya pada Februari depan.
"Menjelang akhir November, 14 pakar kita akan memasang semua komponen itu di sini, di kilang Lotus F1 racing, dan menjelang Februari tahun depan kedua-dua kereta itu sudah sedia untuk menjalani ujian pra-musim di Litar Sepang, katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.
Sekumpulan wartawan dari Malaysia bersama-sama dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berada di sini dibawa melawat fasiliti Lotus F1 racing di Hingham di United Kingdom.
Pasukan itu akan berpengkalan di sini sebelum berpindah ke ibu pejabatnya di Litar Antarabangsa Sepang yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
Saunt berkata peraturan baru Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) telah menetapkan semua pasukan F1 musim 2010 perlu menyediakan hanya dua buah kereta untuk setiap perlumbaan.
Sebelum ini, mana-mana pasukan F1 memerlukan tiga buah kereta iaitu untuk pemandu pertama dan kedua pasukan manakala sebuah kereta lagi sebagai kereta simpanan.
"Kesemuanya, kami memerlukan kira-kira 220 krew di kilang ini di Hingham sebelum kereta itu tampil di grid perlumbaan di Bahrain pada Mac depan," katanya.
Saunt berkata pasukan itu memerlukan antara 30 hingga 35 orang pit krew, termasuklah bahagian publisiti yang akan bergerak bersama-sama dengan pasukan itu di serata dunia bagi menghadapi 18 siri perlumbaan F1 dunia musim depan.
Katanya buat masa ini cabaran utama pasukan ialah untuk mendapatkan komponen aerodinamik luaran yang terbaik terutamanya di bahagian muncung hadapan kereta dan sayap belakang kereta itu.
"Sebab itu kami secara berterusan menguji komponen-komponen ini di dalam terowong angin di Itali, untuk mendapatkan struktur aerodinamik terbaik untuk kereta pasukan," katanya.
Kilang pemasangan pasukan Lotus F1 racing terletak di Norfolk Teknologi Racing (RTN) kira-kira 20km dari ibu pejabat Lotus Group.
Kilang pemasangan dua tingkat itu berkeluasan kira-kira 50 meter persegi lebar yang turut menempatkan pejabat pengurusan dan sistem sokongan teknologi informasi pasukan di tingkat dua termasuk ruang pejabat yang menempatkan 70 pereka yang terlibat dalam projek pasukan.
Saunt berkata kilang pemasangan itu telah terbiar selama 20 bulan tanpa sebarang projek dan memerlukan sedikit penyesuaian terbaru dengan kemudahan-kemudahan teknologi terkini.
Di bahagian bawah kilang itu, terdapat beberapa jentera termasuk dua autoclaves besar yang mencukupi untuk membuat komponen-komponen karbon kereta F1 yang besar, kedai paten, jabatan kualiti dan pemeriksaan, bahagian kecil pemasangan kotak gear, hidraulik dan elektronik.
Sementara itu, salah seorang Pengarah 1MRT, Datuk Kamaruddin Meranun berkata syarikat itu akan memberikan segala bentuk bantuan yang diperlukan bagi menjadikan kereta pasukan F1 Malaysia itu menjadi realiti.
"Jika peraturan baru FIA memerlukan kita untuk menyediakan empat buah kereta sekali pun, kita akan sediakan. Apa yang kami mahukan adalah jentera terbaik yang menjadi kebangsaan negara.
"Ini termasuklah sesi ujian harian di terowong angin di Itali yang memerlukan kos tunai yang besar. Tetapi kami mahukan aerodinamik yang terbaik untuk kereta pasukan, satu aspek yang penting bagi menjamin kedudukan pasukan yang mahu mengejar kemenangan bukan sekadar menjadi pasukan peserta," katanya.
1Malaysia Racing Team (1MRT) ialah pasukan projek yang dibiayai sepenuhnya sektor swasta di Malaysia yang dimiliki bersama oleh Kumpulan Tune dan Kumpulan Naza.
Kumpulan Tune dimiliki bersama ketua pasukan 1MRT Datuk Seri Tony Fernandes dan Kamarudin sebagai pengarah pasukan manakala daripada Kumpulan Naza pula pengarah pasukan itu termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza SM Nasimuddin dan Zahri Ismail.
Lotus Cars dimiliki Proton Holdings Berhad yang mengambilalih syarikat pengeluar kereta British dan pembuat kereta perlumbaan itu pada 1994.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




