UCAPAN OLEH YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI DI TELEVISYEN SEMPENA HARI ASEAN KE 41 PADA 8 OGOS 2008

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH,

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Esok, 8 Ogos 2008, genaplah 41 tahun wujudnya Persatuan Negara - Negara Asia Tenggara atau ASEAN. Bersama-sama negara anggota yang lain, Malaysia bangga merayakan dan memperingati tarikh yang bersejarah ini. Saya sendiri sukacita mengucapkan selamat sejahtera kepada semua rakyat Malaysia dan juga rakyat negara-negara ASEAN yang lain.

2. Tema sambutan tahun ini ialah ?One ASEAN Identity, One ASEAN Community By 2015? atau ?ASEAN Satu Identiti, ASEAN Satu Komuniti Menjelang Tahun 2015?. Tema ini amat tepat untuk diguna sebagai petunjuk arah aktiviti-aktiviti ASEAN mulai sekarang.

3. Tahun lepas, pada 20 November 2007, satu piagam ASEAN atau ASEAN Charter yang baru telah ditandatangani. Tahun ini, Mesyuarat Menteri - Menteri Luar ASEAN di Singapura telah memperbaharui azam supaya Charter itu diratifikasikan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung di Bangkok akhir tahun 2008 ini. Apabila Charter itu diterima pakai, ASEAN akan menjadi satu pertubuhan yang lebih mampan dan mampu mencapai prestasi yang lebih baik. Umpama nya, Ketua - Ketua Negara dan Kerajaan akan bersidang dua kali setahun. Urus-setia ASEAN lebih kukuh apabila jawatan Timbalan Setiausaha Agong ditambah menjadi empat semuanya. Negara-negara anggota akan melantik Wakil-wakil Tetap di Jakarta. Demikian juga, Charter itu akan mengemaskan cara-cara ASEAN membuat keputusan, memperbaiki pengawasan aktiviti-aktiviti ASEAN dan mengikat semua negara anggota supaya sentiasa mematuhi tatasusila Komuniti ASEAN.

4. Saya ingin mengambil peluang ini untuk menyeru semua negara anggota, dan rakyat di semua negara ASEAN, supaya terus gigih berusaha agar wujudnya Komuniti ASEAN mengikut jangka-masa yang telah ditetapkan. Insya-Allah, dengan berpandukan ASEAN Charter dan apabila terlaksananya peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Charter, maka Komuniti ASEAN yang dihasratkan itu akan menjadi kenyataan sebagaimana yang diharapkan dalam tahun 2015.

Tuan-tuan dan puan-puan,

5. Kita boleh berbangga bahawa perkembangan dalam ASEAN adalah di sambut baik oleh negara-negara rakan dialog ASEAN. Beberapa negara berkenaan telah mengumumkan bahawa mereka akan melantik atau menempatkan Duta Besar atau Wakil Khas bagi perhubungan antara negara mereka dengan ASEAN sebagai satu pertubuhan serantau. Perkembangan ini nescaya akan membawa manfaat terhadap perhubungan ASEAN dengan dunia luar, termasuk meluaskan rangkaian perdagangan dan menambah pelaburan dari luar. Demikian juga, pengiktirafan seumpama ini akan meningkatkan kredibiliti ASEAN di persada antarabangsa sebagai sebuah pertubuhan yang mampu menyumbang ke arah keamanan dan kemakmuran global.

6. Saya juga berharap perkembangan terbaharu ini akan mengukuhkan lagi kerjasama yang sedia ada antara ASEAN dengan rakan-rakan dialog menerusi forum-forum yang sedia ada. Ini termasuk (a) Mesyuarat ASEAN Campur Satu bersama setiap negara rakan dialog, (b) Mesyuarat ASEAN Campur Tiga bersama negeri Cina, Jepun dan Republik Korea, (c) Forum Serantau ASEAN dan (d) Persidangan Kemuncak Asia Timur. Adalah amat penting bagi negara-negara ASEAN mengukuhkan perhubungan dengan rakan-rakan tersebut untuk menangani keadaan ekonomi dunia yang merosot akibat kenaikan harga minyak, krisis kekurangan bahan-bahan makanan dan kemelesetan ekonomi antarabangsa yang demi hari bertambah ketara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

7. Walaupun kita boleh berbangga dengan berbagai pencapaian ASEAN di peringkat antarabangsa, kita perlu sentiasa ingat bahawa ketahanan ASEAN sebagai satu kumpulan dan kecemerlangan masa depan ASEAN sebagai satu keluarga tetap bergantung pada peningkatan dan pemantapan kerjasama dalaman sesama negara anggota.

8. ASEAN perlu berusaha gigih secara berterusan untuk merapatkan jurang perbezaan tahap pembangunan sosio-ekonomi antara negara-negara anggota. ASEAN mesti melaksanakan pelan yang telah di lulus seperti ?Narrowing the Development Gap? (Pelan Untuk Merapatkan Jurang Pembangunan) dan ?Initiative for ASEAN Integration? (Daya Usaha Ke arah Persepaduan ASEAN), kedua-duanya untuk dilaksanakan antara tahun 2009 dan 2015. ASEAN harus bersungguh-sungguh merapatkan jurang yang wujud antara negara anggota seperti Cambodia, Laos, Myanmar dan Vietnam dengan negara anggota lain yang sudah lebih maju. Saya percaya ASEAN akan berhasil membangkitkan semangat bahawa ?kita adalah satu keluarga? apabila taraf hidup rakyat biasa di semua negara anggota menjadi lebih sama rata semuanya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

9. Kita tidak harus melupakan bahawa dalam tahun 2008 malapetaka telah sekali lagi menimpa sebuah negara ASEAN, apabila Taufan Nargis melanda Myanmar dalam bulan Mei 2008. Semua negara anggota menghulur bantuan dan ASEAN memainkan peranan penting sebagai orang tengah menyalurkan bantuan antarabangsa kepada mangsa-mangsa taufan itu. Peristiwa sedih ini tentu akan menjadi satu pengajaran bahawa ASEAN adalah relevan bukan sahaja dalam masa senang tetapi juga dalam masa susah. Saya menyambut baik persetujuan Menteri-Menteri Luar ASEAN untuk meningkatkan kerjasama serantau supaya lebih bersiap-sedia menghadapi bencana alam serta memperbaiki sistem penyampaian dan pengurusan bantuan, pemulihan dan pembinaan semula kawasan bencana.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

10. Dari awal lagi, pengasas-pengasas ASEAN memang bertujuan menubuhkan ASEAN bukan hanya untuk mewujudkan kerjasama antara Kerajaan dengan Kerajaan tetapi adalah bertujuan juga untuk mengeratkan perhubungan dan menjaga kepentingan warganya. Oleh yang demikian, interaksi di peringkat rakyat jelata mesti digalakkan. ASEAN perlu menambah program-program untuk kebaikan golongan sasar ini terutamanya kaum belia yang akan mewarisi kepimpinan dalam ASEAN pada masa hadapan.

11. Akhir sekali, saya ingin menyeru kepada semua anggota masyarakat supaya mengambil inisiatif untuk mengenali ASEAN dengan lebih mendalam dan seterusnya menyokong usaha-usaha yang diambil oleh pihak kerajaan demi memperkasakan ASEAN. Dengan cara ini, ASEAN bolehlah terus berperanan sebagai satu pertubuhan yang relevan, dinamik, progresif dan mampu menangani cabaran-cabaran global semasa dan juga yang mungkin timbul pada masa hadapan.

Sekian. Terima kasih.

WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH
WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.


Kami menyediakan langganan arkib ucapan 
melalui perkhidmatan
pangkalan data .