Berita-berita Lain
07 November, 2009 18:02 PM
Liow Hormati Hasrat CC Untuk Adakan EGM
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau menghormati hasrat anggota Jawatankuasa Pusat (CC) parti bagi mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 Nov.
"Sekarang notis EGM telahpun dikeluarkan, biarlah perwakilan membuat keputusan," kata Liow yang juga Menteri Kesihatan kepada pemberita selepas merasmikan majlis 'Malaysian Institute Of Art Convocation 2009' di sini pada Sabtu.
Semalam, Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng mengakui kumpulan 16 anggota CC telah bertindak mengikut perlembagaan parti dalam mengeluarkan notis bagi mengadakan mesyuarat EGM pada 28 Nov ini.
Sebelum ini, beliau berpegang kepada nasihat biro undang-undang parti bahawa resolusi yang dipohon oleh kumpulan itu adalah melanggar perlembagaan parti.
Antara 16 anggota CC yang mendesak EGM ialah Naib Presiden Tan Kok Hon, Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun.
Apabila ditanya adakah beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung keputusan badan itu mengembalikan semula jawatan timbalan presiden MCA kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Liow berkata beliau tidak akan mengheret masalah itu ke mahkamah.
"Tidak, saya tidak akan membawa perkara ini ke mahkamah. Saya akan menulis surat kepada ROS untuk mendapatkan penjelasan kerana adalah penting untuk kita menjelaskan kepada ROS mengenai proses parti dan perlembagaan parti. Kita tidak mahu ROS membuat keputusan yang salah," katanya.
Mengenai Pelan Perpaduan Besar (GUP), Liow berkata untuk memastikan GUP mencapai matlamatnya, amanah dan keikhlasan adalah diperlukan.
"Apabila kita bercakap mengenai pelan perpaduan, mesti wujud perkara asas, amanah mesti ada, jika tiada keikhlasan dan amanah di dalam parti adalah sukar untuk parti mara ke hadapan," katanya.
Sementara itu di KUANTAN, MCA Pahang menyokong diadakan EGM bagi membolehkan pemilihan baru parti itu.
Pengerusi Badan Perhubungan MCA Pahang, Datuk Hoh Khai Mun berkata perkara itu diputuskan dalam satu perbincangan pada hari ini melibatkan ketua bahagian, ketua Pemuda dan ketua Wanita MCA Pahang.
Beliau berkata daripada 14 bahagian MCA di Pahang hanya Ketua Bahagian Kuantan yang juga anggota Jawatankuasa Pusat (CC), Datuk Ti Lian Ker hadir pada perbincangan itu.
Katanya, pihaknya juga akan menganjurkan kempen "satu ahli, satu ringgit" bagi mengutip sumbangan secara sukarela daripada 65,000 ahli MCA Pahang untuk membantu pembiayaa penganjuran EGM tersebut yang dikatakan melibatkan kos RM800,000.
"Kita berikrar akan memberikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada pihak berkenaan sebelum 28 Nov ini," katanya dalam sidang akhbar di sini.
Dalam pertemuan itu, MCA Pahang turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Hoh yang disifatkan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dan rapat dengan ahli parti itu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MCA Pahang, Datuk Seri Lam Kam Sang berkata, ia berikutan spekulasi berhubung pertukaran kepimpinan MCA di negeri itu.
"Kita tidak mahu khabar angin ini berterusan kerana ia tidak baik untuk politik MCA negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




