Berita-berita Lain
06 November, 2009 21:23 PM
Kumpulan 16 Anggota CC Boleh Keluar Notis Untuk EGM, Kata Setiausaha Agung MCA
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng mengakui kumpulan 16 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) telah bertindak mengikut perlembagaan parti dalam mengeluarkan notis hari Jumaat bagi mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 Nov ini.
Sebelum ini, beliau enggan mengeluarkan notis EGM kerana memegang kepada nasihat biro undang-undang parti bahawa resolusi yang dipohon oleh kumpulan itu adalah tidak berperlembagaan.
Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, yang menrupakan antara 16 anggota kumpulan itu, penuh dengan senyuman apabila berkata: "Saya gembira akhirnya notis untuk EGM sedang dikeluarkan kepada perwakilan."
Beliau telah menemui tiga anggota kumpulan itu yang mengemukakan permohonan kepada Wong pada 29 Okt lalu untuk memanggil sebuah EGM bagi membolehkan pemilihan baru parti.
Wong berkata langkah mengeluarkan notis untuk EGM itu dibenarkan di bawah Artikel 31 perlembagaan parti.
"Bagi ibu pejabat MCA, terdapat peruntukan dalam perlembagaan parti yang membenarkan tiga pemohon itu mengeluarkan notis kepada semua perwakilan pusat selepas setiausaha agung tidak mengeluarkan notis dalam tempoh lima hari.
"Mereka boleh berbuat demikian kerana ia termaktub di bawah perlembagaan...tiada isu mengenai perkara itu," Wong memberitahu Bernama.
Antara 16 anggota CC itu yang mendesak EGM ialah naib presiden Tan Kok Hon, Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Chew.
Wong berkata parti itu akan membincangkan pengganti ahli lembaga disiplin yang meletak jawatan serentak semalam.
Di PULAU PINANG, Pengerusi Wanita Negeri Tan Cheng Liang meminta pemimpin parti menghentikan perbalahan antara sesama mereka dan menyokong pelan perpaduan parti itu.
Tan, yang juga anggota CC, berkata semua pemimpin dan ahli harus mengenepikan perbezaan masing-masing dan memberi tumpuan kepada membina semula parti terbesar yang mewakili masyarakat Cina di negara ini.
"Bagi memperkukuhkan parti, semua harus memberi peluang kepada pelan perpaduan," katanya kepada pemberita di sini, sambil menegaskan tidak kestabilan politik akan hanya menimbulkan isu serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
"Ini adalah masa untuk semua merapatkan barisan demi MCA dan berusaha berkhidmat kepada negara dan rakyat," katanya.
Katanya pelan perpaduan itu mempunyai tiga elemen penting -- menyatupadukan parti, 'menyembuh luka' dan transformasi dan penjenamaan semula MCA.
Ditanya sama ada beliau antara kumpulan 16 anggota CC yang mendesak pemilihan baru parti, Tan berkata beliau tidak menyertai rancangan itu.
"Saya tidak fikir ini masa sesuai untuk memanggil pemilihan baru parti kerana hanya tinggal dua tahun lagi sebelum pemilihan parti akan datang," katanya.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




