05 November, 2009 14:26 PM

Kemelut Dalaman MCA, Ong Ambil Pendekatan Berdiam Diri

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dilihat mengambil pendekatan berdiam diri ketika kemelut dalaman parti itu terus berlarutan.

Pertanyaan demi pertanyaan mengenai parti itu oleh wartawan yang meliputi lawatan beliau sebagai Menteri Pengangkutan ke Stesen LRT Bangsar di sini hari ini, langsung tidak mendapat respons beliau.

"Saya hari ini cuma layan soal pengangkutan. Di stesen ini pun (saya) tak nampak ada cawangan MCA," katanya ketika diaju pertanyaan tentang Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mahu mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Selasa bahawa Datuk Seri Dr Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden MCA yang sah.

Ong juga enggan mengulas laporan sebuah akhbar harian Cina mengenai lima anggota Jawatankuasa Disiplin MCA termasuk pengerusinya Ng Cheng Kiat yang mahu meletak jawatan kerana tidak puas hati dengan pimpinan tertinggi menangani pergolakan dalam parti itu.

"Kalau saudari (wartawan) datang untuk itu, saya minta maaflah. Itulah, banyak sangat khabar angin, dan saya tak faham kenapa ini harus berlaku dalam senario politik kita. Kadangkala jika kenyataan yang sebenar dibuat, orang tak suka, tak layan, tapi khabar angin, ada pasaran.

"Eloklah saya buat kerja (yang) rakyat harapkan," katanya.



-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.