Berita-berita Lain
02 November, 2009 22:04 PM
Pemimpin Akar Umbi Masih Kabur Dengan Pelan 11388
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Selepas Gerakan menerima tamparan hebat pada pilihan raya umum 18 bulan lalu, beberapa pemimpin akar umbi mendakwa mereka masih kabur dengan rancangan masa depan parti tersebut.
Walaupun presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah menyatakan bahawa parti itu akan menggunakan Strategi 11388, yang dirangka dua tahun lepas dan dikemaskinikan dengan elemen 1Malaysia bagi menunjukkan parti itu masih relevan, namum barisan pemimpin ini tidak yakin dengan pelan itu.
Mereka mendakwa apa yang dilaksanakan oleh kepimpinan parti itu hanya semata-mata satu rancangan sahaja tanpa sebarang idea pelaksanaan yang mantap.
Bagaimanapun, Koh menafikan dakwaan itu.
"Apa yang terjadi beberapa pemimpin akar umbi ini sudah biasa memegang kedudukan sama ada di peringkat pihak berkuasa tempatan, komuniti dan kerajaan negeri tetapi tiba-tiba hilang semua keistimewaan sekarang," katanya.
"Tiba-tiba mereka hilang jawatan dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan dan menyalahkan parti kerana tiada hala tuju. Hala tuju telah tertera dalam pelan 11388.
"Apa yang kita perlu buat ialah mengingatkan mereka supaya jangan bergantung kepada jawatan. Kita perlu membina kerjasama dan komunikasi kami dengan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," kata Koh, yang menyatakan pelan 11388 memperjelaskan lapan strategi.
Strategi tersebut termasuk mengekalkan pendirian pelbagai kaum dalam semua dasar, bertindak sebagai 'suara pendapat' dalam Barisan Nasional (BN) dan menyokong semua pembaharuan dalam BN di samping memainkan peranan pembangkang yang proaktif di negeri-negeri yang ditadbir oleh kerajaan bukan BN.
Tambahan pula, di bawah pelan itu, parti itu akan memperkukuhkan semula dasar mengutamakan rakyat di samping berkerjasama dengan NGO dalam bidang-bidang khusus seperti hak asasi manusia, alam sekitar dan pendidikan.
Beberapa perwakilan parti telah menyatakan bahawa kepimpinan parti telah melaksanakan tugas dalam mengasaskan pelan pembaharuan parti tetapi tidak tahu cara memberi motivasi kepada pimpinan akar umbi mengenai rancangan itu.
"Bagi memastikan anda mempunyai motivasi, anda perlu komited. Bukan hanya pandai bercakap sahaja," kata seorang perwakilan dari Perak yang enggan namanya disiarkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan di sini semalam, berkata parti itu tidak harus menyerah kalah dengan mudah hanya kerana pencapaian teruk pada pilihan raya umum lepas.
"Motivasi seperti itu yang kami perlukan sekarang. Bagaimanapun, kami tertanya-tanya sama ada pemimpin parti akan terus memberi motivasi seperti itu dalam melaksanakan rancangan ini," kata seorang perwakilan dari Selangor.
Menurut sumber parti, Koh dikritik hebat oleh penasihat parti dan bekas presiden Tun Dr Lim Keng Yaik dan beberapa tokoh veteran parti dalam mesyuarat majlis ahli seumur hidup parti (LCM) pada Sabtu lepas.
Sumber itu berkata Dr Lim dan ahli veteran lain tidak puas hati dengan kepimpinan Koh menguruskan hal ehwal parti selepas pilihan raya umum, keluhan sama yang diluahkan oleh pemimpin akar umbi.
Bagaimanapun, Koh berkata beliau mengambil kritikan itu secara positif kerana peranan LCM adalah sebagai mengawasi dan menegur kepimpinan parti dari masa ke semasa.
"Kita mungkin mengambil mudah jika bukan dengan kritikan membina. Kami menerima banyak kritikan dari bekas presiden tetapi ianya dengan niat baik. Harap anda tidak terlalu membuat andaian kerana hubungan kami masih mesra," kata Koh.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




