Berita-berita Lain
25 Oktober, 2009 20:05 PM
Punca Krisis Kepimpinan PAS Akan Terbongkar Dalam EGM - Muhyiddin
PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Perbezaan ideologi dan fahaman di kalangan pemimpin PAS akan terbongkar sekiranya mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan seperti diarahkan oleh Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari Ahad.
Muhyiddin berkata, beliau yakin krisis kepimpinan dalam parti itu ketika ini bukan hanya disebabkan oleh isu mewujudkan kerajaan perpaduan, tetapi lebih daripada itu.
Sambil menyifatkan krisis itu sebagai 'lebih dari sekadar mata memandang', beliau berkata masalah dan perpecahan itu kini semakin jelas dan ketara apabila Nik Aziz menyatakan hasrat supaya EGM itu diadakan segera.
"Sama ada masalah yang berbangkit dalam PAS sekarang ini ada hubung kait dengan soal kerajaan perpaduan atau tidak, saya kira mungkin lebih daripada soal itu. Saya tak fikir itu satu-satunya masalah kerana ada perbezaan pendapat di antara pemimpin-pemimpin mereka, mungkin ada sebab-sebab yang lain.
"Dengan sebab itu seolah-olah sudah ada perpecahan ketara apabila Mursyidul Amnya keluarkan kenyataan nak adakan EGM seberapa segera. Dengan jelas beliau ambil langkah untuk singkirkan pihak-pihak atau puak yang tidak sehaluan dengan beliau," katanya.
Muhyiddin ditanya mengenai pergolakan dalam PAS yang kini membawa kepada desakan mengadakan EGM itu.
Menurut beliau, EGM tersebut mungkin merupakan tanda penolakan Nik Aziz terhadap kerajaan perpaduan itu, tetapi segalanya diyakini akan terbongkar dalam EGM tersebut sekiranya ia diadakan.
"Apakah itu (EGM) atas dasar penolakan beliau terhadap konsep gagasan perpaduan itu atau tidak, mungkin (ia) satu daripadanya. Saya fikir mungkin ada perkara lain yang mungkin akan tidak berapa lama lagi terbongkar waktu mereka adakan EGM," katanya.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, Nik Aziz mungkin melihat isu kerajaan perpaduan sebagai faktor yang mencabar kedudukan beliau atau beliau sendiri sememangnya tidak bersetuju dengan idea itu, sekaligus menyebabkan wujudnya perbezaan pendapat dengan pihak yang bersetuju.
"Saya tidak pasti itu atas pertimbangan beliau sendiri; dia sebagai seorang pemimpin Pas melihat itu sebagai satu yang agak mencabar kedudukan atau suatu yang beliau sendiri tidak bersetuju dan dia tidak mahu perpaduan itu dijalinkan," katanya.
Mengenai cadangan kerajaan perpaduan, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku presiden Umno sering menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk Pas demi perpaduan ummah.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




