Berita-berita Lain
15 Julai, 2009 18:53 PM
Dr Khir Toyo Dan Empat Wakil Rakyat BN Digantung
SHAH ALAM, 15 Julai (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada hari Rabu menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo selama setahun manakala empat lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) digantung selama enam bulan.
Kesemua keistimewaan mereka sebagai wakil rakyat juga ditarik balik sepanjang tempoh penggantungan itu.
Timbalan Speaker, Haniza Mohd Talha mengumumkan perkara itu setelah usul mengenainya diluluskan pada kira-kira pukul 3.05 petang selepas perbahasan oleh beberapa penyokong kerajaan iaitu Ng Suee Lim (Sekinchan); Shuhaimi Shafeie (Seri Muda); Amiruddin Shaari (Batu Caves); Hannah Yeoh (Subang Jaya) and Lee Kim Sin (Kajang).
Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota DUN Sungai Panjang, digantung kerana gagal hadir sidang pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) pada Mac lepas berhubung pengunaan wang penajaan oleh Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS) dan didakwa mengeluarkan kenyataan menghina jawatankuasa itu dalam media.
Empat Adun BN yang turut digantung Datuk Warno Dogol (Sabak Bernam), Datuk Mohd Idris Abu Bakar (Hulu Bernam), Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Marsum Paing (Dengkil) kerana kesalahan menghina SELCAT dalam media.
Usul itu mencadangkan kemudahan elaun dan faedah sebagai anggota DUN yang diterima Dr Mohamad Khir dan empat wakil rakyat BN ditarik balik sepanjang tempoh penggantungan.
Terdahulu, kesemua 17 wakil rakyat pembangkang daripada BN diketuai Dr Mohamad Khir keluar dewan sebagai tanda bantahan terhadap usul berkenaan.
Dalam ucapannya semasa perbahasan usul sebelum keluar dewan, Ketua Pembangkang itu berkata usul itu dikemukakan bertujuan menutup mulut pembangkang dalam dewan meskipun kerajaan pimpinan pakatan - Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS mendakwa mengamalkan prinsip keterbukaan.
Beliau berkata walaupun SELCAT dan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan tertakluk dalam bidang kuasa DUN, kesalahannya tidak menghadiri sidang pendengaran awam dan kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil rakyat BN tidak boleh dianggap sebagai menghina dewan.
Dr Mohamad Khir berkata SELCAT telah bertindak tidak adil kerana tidak menyediakan dokumen yang sewajarnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan dilakukan selepas pendengaran awam itu.
Sementera itu, Speaker DUN Selangor Teng Chang Khim berkata Dr Mohamad Khir tidak boleh mencabar kesahihan penggantungan itu di mahkamah kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Menurut Perkara 72 (1) Perlembagaan Persekutuan, kesahihan mana-mana perbicaraan Dewan Undangan mana-mana negeri tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.
"Perkara 72 (2) Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan tiada seseorang pun boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan di mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam prosiding Dewan Undangan mana-mana negeri atau prosiding mana-mana jawatankuasanya," katanya.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




