06 Jun, 2009 19:21 PM

Gagasan Kerajaan Perpaduan Akan Diterima Jua : Hadi Awang

SHAH ALAM, 6 Jun (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin gagasan pembentukan kerajaan perpaduan yang dicetuskannya tidak akan terkubur dan akan diterima jua anggota parti itu suatu hari nanti.

Beliau berkata akan tiba masanya cadangan itu akan dapat diterima oleh kepimpinan PAS sendiri dan rakan dalam pakatan pembangkang.

"Masih terlalu awal...kita mesti menerima hakikat, bukan semestinya sesuatu yang ditolak hari ini akan ditinggalkan selamanya...akan tiba masanya," katanya kepada pemberita semasa melawat gerai pameran pada Muktamar Tahunan PAS ke-55 di Stadium Malawati di sini, Sabtu.

Beliau berkata konsep dan objektif gagasan kerajaan perpaduan itu tidak diterangkan kerana media tidak mendapat maklumat sepenuhnya dan masih banyak perkara yang perlu dihuraikan.

Secara amnya, beliau berkata rakan pakatan pembangkang sepakat bersetuju bahawa konsep negara yang melibatkan sistem kehakiman dan pencegahan rasuah perlu diubah.

Menyentuh barisan kepimpinan baru PAS yang dipilih hari ini, Abdul Hadi berkata keputusan itu menggambarkan pendirian anggota parti itu di seluruh negara.

"Ia merupakan rangkuman kepimpinan ulama, profesional dan aktivis masyarakat," katanya lagi.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.