Berita-berita Lain
09 Ogos, 2008 14:31 PM
Abdullah Akan Umum Calon BN Di Permatang Pauh Bila Bersedia, Kata Najib
BUTTERWORTH, 9 Ogos (Bernama) -- Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh apabila beliau bersedia, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Presiden akan memutuskannya apabila beliau bersedia," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan anggota jentera pilihan raya Umno Permatang Pauh di sini, Sabtu.
Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pemilihan calon masih belum dibincangkan dan menurutnya sebaliknya tumpuan kini diberikan kepada mengembleng tenaga anggota jentera pilihan raya BN bagi mendapatkan sokongan pengundi di Permatang Pauh.
Ditanya adakah tindakan tidak mengumumkan nama calon itu dalam masa terdekat akan menjejas persiapan jentera pilihan raya BN, beliau berkata: "Ia tidak akan menjejaskan (persiapan jentera pilihan raya)."
Mengenai Umno Bahagian Permatang Pauh yang mencadangkan ketua bahagian itu Datuk Abdul Jalil Abdul Majid sebagai calon pada pilihan raya kecil itu, Najib berkata: "Kami tidak membincangkan mengenai calon kerana calon merupakan keputusan presiden."
Timbalan Perdana Menteri juga berkata BN telah merangka bentuk kempen yang sesuai bagi pilihan raya kecil itu.
Beliau berkata BN tidak gentar menghadapi parti lawan dan bersedia menjawab apa-apa isu yang dibangkit oleh mereka.
"Kita akan jawab apa-apa isu yang akan dibangkitkan oleh pembangkang," katanya yang enggan mendedahkan bentuk kempen yang akan dilaksanakan itu.
Menjawab dakwaan beberapa pihak yang BN sebagai "underdog" pada pilihan raya kecil itu, Najib berkata: "Tak apa lah semua orang kata kita underdog, saya lebih suka kita masuk sebagai underdog."
Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan peletakan jawatan oleh penyandangnya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penasihat PKR, bertanding di kerusi itu.
Penamaan calon ditetapkan 16 Ogos manakala pengundian pada 26 Ogos jika terdapat pertandingan.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




