

Berita-berita Lain
07 November, 2009 10:54 AM
Banjir Di Terengganu Beransur Pulih
KUALA TERENGGANU, 7 Nov (Bernama) -- Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih pagi Sabtu selepas ramai mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu, seramai 2,681 mangsa banjir, masih berada di 49 pusat pemindahan di daerah-daerah yang dilanda banjir sehingga pukul 8 pagi Sabtu.
Menurutnya jumlah paling ramai dicatat di Besut iaitu 1,342 mangsa daripada 324 keluarga di 16 pusat pemindahan, di Hulu Terengganu (570 daripada 141 keluarga di 15 pusat pemindahan), di Setiu (294 daripada 143 keluarga di 11 pusat pemindahan) dan 475 daripada 105 keluarga masih berada di tujuh pusat pemindahan di Dungun.
"Bagaimanapun jumlah itu dijangka berkurangan kerana kebanyakan mangsa banjir terutama di Besut telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini," katanya kepada Bernama.
Katanya hujan yang reda sejak semalam menyebabkan limpahan air sungai mulai surut di beberapa daerah di negeri itu sejak pagi semalam.
Menurut beliau, semua jalan utama di daerah-daerah berkenaan sudah boleh dilalui kecuali beberapa jalan kampung di Setiu yang masih ditutup kepada kenderaan ringan.
Setakat ini tidak ada laporan kes-kes tidak diingini seperti lemas dilaporkan, katanya.
Sementara itu, Bilik Gerakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu memberitahu hanya bacaan di tiga sungai masih mencatat paras bahaya dan keadaan paras air di kebanyakan sungai sudah kembali baik.
Katanya kedudukan paras air di Sungai Besut masih mencatat paras bahaya dengan bacaan di Jambatan Jerteh 9.81 meter melepasi paras bahaya 8.9 meter, bacaan di Kampung Langkap di Setiu (21.93 meter melepasi paras bahaya 21.5 meter) dan bacaan Sungai Setiu di Kampung Bukit (14.15 meter melepasi paras bahaya 12.0 meter).
Kesemua bacaan diambil pada pukul 9 pagi Sabtu.
Secara keseluruhannya, keadaan hari kedua banjir di seluruh negeri semakin pulih berikutan paras air sungai yang semakin surut, dan dijangka berterusan sehingga petang sekiranya keadaan cuaca bertambah baik, katanya.
Sementara itu, di Besut, penduduk Kampung La, Hulu Besut yang dilanda banjir berikutan limpahan air Sungai Besut secara mendadak semalam, menyifatkan kejadian itu menyamai banjir besar yang berlaku di kampung itu 10 tahun lalu.
Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, lebih 204 daripada 65 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Masjid Kampung La, selain dua buah rumah penduduk turut dihanyutkan arus deras.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung La, Zakaria Musa, 55 berkata limpahan air setinggi antara dua meter hingga tiga meter menyebabkan hampir 80 buah rumah penduduk ditenggelami air hingga ke paras bumbung.
Katanya, penduduk diarah berpindah kira-kira pukul 9 pagi setelah arus deras Sungai Besut yang hanya terletak 200 meter daripada kawasan kampung melimpahi tebing secara mendadak namun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Di KOTA BAHARU, mangsa banjir di Kelantan yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir di seluruh negeri itu semakin meningkat kepada 2,465 orang pagi ini berbanding 1,210 orang yang dilaporkan sehingga pukul 8 malam Jumaat.
Ketua Pegawai Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri, Mamat Yusof berkata seramai 845 orang dipindahkan ke pusat pemindahan di Pasir Mas, Kuala Krai (519), Tanah Merah (679), Machang (279), Pasir Puteh (27), Bachok (62) dan Gua Musang (54).
"Seramai 131 mangsa yang dipindahkan di beberapa kawasan di Jajahan Jeli, semalam bagaimanapun sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi tadi dan bilik gerakan banjir di jajahan itu sudah pun ditutup," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata paras air Sungai Golok di Jenob dan Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya di Jenob 23.67 meter (bahaya 23.50 meter), Rantau Panjang 10.42 meter (bahaya 9 meter), Sungai Kelantan di Kusial ialah 17.79 meter (bahaya 16 meter).
Jalan-jalan negeri yang masih ditutup kepada semua kenderaan ialah Jalan Tanah Merah-Kusial, Pasir Mas-Kubang Rambutan, Rantau Panjang dan Pohon Tanjong (Jalan Rantau Panjang Lama), Jalan Jedok Pasir Mas di Kampung Panglima Bayu manakala jalan utama Kota Bharu-Kuala Krai di Kampung Sungai Durian hanya dibuka untuk kenderaan berat sahaja sehingga jam 8 pagi Sabtu.
Cuaca di Kelantan kini mendung dengan hujan renyai-renyai dilaporkan di sesetengah kawasan.
Di KANGAR, keadaan banjir di Perlis pulih selepas 245 mangsa daripada 75 keluarga yang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan di utara Perlis sejak semalam pulang ke rumah masing-masing pada Sabtu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Tugas tugas Khas, Mansor Jusoh berkata, pusat-pusat pemindahan di dewan orang ramai Titi Tinggi Hilir, Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan juga sudah ditutup.
Sementara itu di PAHANG, pasukan-pasukan keselamatan kini bersedia sepenuhnya bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir yang dijangka melanda negeri itu pada bila-bila masa.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang telah mengeluarkan arahan kepada 782 pegawainya supaya bersiap sedia sementara Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Negeri pula sedia menggerakkan 500 anggotanya untuk kerja-kerja menyelamat dan menyediakan 26 buah bot bagi memindahkan mangsa-mangsa banjir di negeri itu.
Bilik gerakan termasuk di Kuantan dan Temerloh sedia dibuka pada bila-bila masa manakala unit-unit kawalan turut disediakan di Jerantut, Raub, Pekan dan Maran, kata Pengarah JPAM Pahang Mohd Saiful Azam Ismail.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

