

Berita-berita Lain
05 November, 2009 10:11 AM
Malaysia Perkenalkan Seni Halus Dan Budayanya Kepada Dunia
Daripada Voon Miaw Ping

HELSINKI, 5 Nov (Bernama) -- Malaysia akan memperkenalkan kepelbagaian seni dan budayanya sebagai satu produk pelancongan khusus kepada pencinta seni halus mulai tahun depan, kata Menteri Pelancongan.
Sasaran utama ialah pelancong mewah terutamanya dari negara-negara Eropah yang sanggup berbelanja besar untuk mempunyai koleksi seni selain untuk menikmati taraf kehidupan yang tinggi, katanya kepada wartawan Malaysia selepas menganjurkan jamuan tengah hari kepada peneraju industri pelancongan Finland di sini pada Rabu.
Ng berkata antara produk yang akan diketengahkan ialah lukisan, pementasan, seni bina, muzik dan tarian tradisional serta juga Orkestra Filharmonik Malaysia yang bertaraf dunia selain masakan.
"Sebagai sebuah negara yang menikmati sinaran matahari sepanjang tahun, alam semula jadi yang menarik serta rakyat yang mesra, saya mahu Malaysia dikenali kerana seni halus dan budayanya. Kita mahu dunia tahu kita mempunyai ramai rakyat berbakat seperti pelukis dan sebagainya," katanya.
Beliau berharap pelancong asing yang datang ke Malaysia untuk menonton konsert atau ke pameran, akan dibawa ke kilang batik atau songket untuk belajar seni penghasilannya atau diajar mengenai tarian dan masakan tempatan.
Tourism Malaysia, katanya, telah menetapkan Julai, Ogos dan September tahun depan untuk Festival Seni dan Budaya Malaysia.
Ng berkata pengarah muzik klasik terkenal, Datuk Ooi Chean See yang juga seorang duta pelancongan, turut bergiat memperkenalkan seni halus dan budaya Malaysia khususnya di pasaran Eropah.
Beliau berkata usaha akan dipertingkatkan untuk menghebahkan mengenai program Malaysia My Second Home (MM2H) kepada rakyat Finland.
Katanya Finland merupakan satu pasaran berpotensi untuk program itu walaupun pada masa ini, terdapat hanya empat orang rakyat negara itu daripada kalangan 13,949 rakyat asing yang mempunyai rumah di Malaysia.
Ng berkata Malaysia mempunyai dasar yang tidak begitu ketat dalam menarik rakyat asing menyertai program itu, yang antara lainnya, membenarkan mereka membeli hartanah bernilai lebih RM250,000.
Katanya beliau berharap untuk menarik lebih ramai pesara daripada kalangan rakyat asing untuk tinggal di Malaysia.
Rakyat asing yang ingin menyertsai program MM2H kini bleh membuat permohonan menerusi kedutaan Malaysia di negara masing-masing.
Ng berkata Duta Malaysia ke Finland, Cheah Choong Kit, bersetuju untuk membantu Tourism Malaysia dalam promosinya di negara itu.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

