

Berita-berita Lain
04 November, 2009 13:02 PM
Laporan PAC Syor Chan Kong Choy, OC Phang Disiasat SPRM
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan suapaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis menyiasat bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang Datuk Paduka O.C. Phang membabitkan pecah amanah berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan Chan dan tiga surat akujanji oleh Phang, mengikut laporan PAC berhubung PKFZ yang diedarkan di Dewan Rakyat pada hari Rabu.
"Jawatankuasa dimaklumkan oleh Peguam Negara bahawa tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Chan Kong Choy, (bekas) Menteri Pengangkutan dan ketiga-tiga surat akujanji yang dikeluarkan oleh Pengurus Besar LPK (Lembaga Pelabuhan Kelang) secara tersirat atau bersifat jaminan daripada kerajaan yang meletakkan tanggungan ke atas kerajaan untuk memastikan ada peruntukan yang membolehkan LPK memenuhi obligasinya di bawah Perjanjian Pembangunan.
"Oleh itu, siasatan rapi perlu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia/Polis Diraja Malaysia terhadap perkara ini kerana ia dikeluarkan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan sepertimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Tatacara Kewangan 1957," kata laporan itu.
Selain itu, tindakan Chan dan Phang juga boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah pecah amanah di bawah Seksyen 409 yang dibaca bersama Seksyen 409B Kanun Keseksaan.
Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman minimum dua tahun maksimum 20 tahun, dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan hukuman denda jika sabit kesalahan.
Laporan PAC yang diketuai Datuk Seri Azmi Khalid juga berpendapat surat akujanji yang dikeluarkan oleh Phang adalah bertentangan dengan keputusan kerajaan kerana semasa meluluskan projek PKFZ, kerajaan telah memutuskan supaya ia dibiayai sendiri oleh LPK.
Sehubungan itu, Phang dan Kementerian Pengangkutan didapati gagal memaklumkan kabinet dengan awal mengenai ketidakupayaan LPK untuk membiayai sendiri projek itu walaupun perkara tersebut telah dibangkitkan dalam laporan-laporan Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan LPK bagi tahun 2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007.
Selain itu, mereka juga didapati gagal berunding dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi bagi mendapatkan peruntukan bagi membiayai projek itu.
Pengurus besar LPK itu juga didapati telah melakukan "gambaran yang salah" apabila mengeluarkan surat akujanji kepada pemegang amanah Sekuriti Hutang Persendirian (PDS) iaitu OSK Securities Berhad yang menyatakan bahawa LPK akan meminta kerajaan untuk meremit dana daripada peruntukan bajet ke "akaun rizab khas" atau "kod khas akaun" yang diuruskan oleh LPK memandangkan LPK tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Kewangan berhubung perkara itu.
PAC turut berpendapat bahawa kos projek itu boleh dikurangkan oleh LPK dengan mematuhi arahan Kementerian Kewangan berhubung kaedah pembiayaan projek, iaitu bon diterbitkan oleh LPK dengan jaminan kerajaan kerana mengikut amalan kerajaan, kadar faedah bon yang dikeluarkannya adalah dalam lingkungan empat peratus sahaja berbanding faedah yang dikenakan syarikat Kuala Dimensi Sendirian Berhad (KDSB) sebanyak 7.5 peratus.
Laporan itu turut menyatakan bahawa kegagalan Phang yang juga pengerusi Lembaga Pengarah PKFZ Sdn Bhd dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan untuk memastikan semua undang-undang dan peraturan berhubung dengan pelaksanaan projek PKFZ dipatuhi, perlu diberi perhatian serius.
Oleh itu, ia mengesyorkan supaya tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat.
Laporan bertarikh 27 Okt itu turut menggariskan tiga perkara yang boleh disiasat oleh SPRM, antaranya "konflik kepentingan" dalam membuat keputusan melibatkan perunding BE Sdn Bhd dan peguam Rashid Asari & Co.
Menurut laporan itu, BE Sdn Bhd ialah anggota Konsortium Juruukur Bahan yang dilantik LPK untuk menentukan kos sebenar projek dan perunding itu juga merupakan Juruukur Bahan untuk KDSB bagi kerja infrastruktur manakala peguam Rashid Asari & Co pula terlibat dengan dua daripada empat perjanjian pembangunan yang ditandatangani antara LPK dengan KDSB.
PAC juga mengesyorkan supaya SPRM menyiasat beberapa tindakan yang diambil Phang berhubung projek PKFZ seperti pelantikan KDSB sebagai kontraktor, menandatangani perjanjian pembelian tanah dan pembangunan PKFZ dengan KDSB, serta keputusan melantik syarikat Jebel Ali Free Zone International (JAFZI) sebagai perunding dan kemudian menamatkan khidmatnya tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Kementerian Kewangan.
Jawatankuasa itu juga mahu siasatan dibuat terhadap pengeluaran "surat akujanji" oleh Phang yang bertentangan dengan Akta Prosedur Kewangan 1957.
Selain itu, terdapat peruntukan undang-undang dan peraturan kewangan serta arahan kerajaan yang tidak dipatuhi dalam pelaksanaan projek tersebut oleh Phang sebagai pengurus besar LPK.
"Kegagalan beliau mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan berkenaan perlu disiasat memandangkan beliau sepatutnya mengetahuinya kerana pernah berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan kerajaan termasuk Kementerian Kewangan," kata laporan itu.
Projek PKFZ yang dilancarkan pada Julai 2004, diwujudkan mengikut model JAFZI di Dubai yang terkenal sebagai sebuah zon bebas yang berjaya dan berkembang pesat di peringkat antarabangsa.
PAC menjalankan pemeriksaan terhadap pelaksanaan projek PKFZ selepas isu berhubung dengannya menjadi topik perbualan umum kerana kos projek itu melambung daripada RM1.957 bilion kepada RM4.947 bilion.
Jawatankuasa itu telah bersidang mulai 11 Jun 2009 hingga 3 September 2009 bagi menemuramah saksi-saksi yang berkenaan termasuk Menteri Pengangkutan dan dua bekas menteri yang memegang portfolio berkenaan iaitu Datuk Seri Ong Tee Keat, Tun Dr Ling Liong Sik dan Chan.
PAC turut menggunakan laporan-laporan Ketua Audit Negara dan laporan yang dikeluarkan PricewaterhouseCoopers serta meminta Jabatan Audit Negara menjalankan semakan dan pengesahan terhadap beberapa perkara berkaitan perancangan dan pelaksanaan projek PKFZ.
Selain jawatankuasa itu, pada 9 Sept lepas, kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas PKFZ yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara bagi mengenal pasti kelemahan tadbir urus dan pengurusan pelaksanaan projek pembangunan PKFZ serta mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang perlu diambil.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

