

Berita-berita Lain
03 November, 2009 19:36 PM
Malaysia Lakar Kejayaan Dalam Kewangan Islam - Najib
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia melakar kejayaan penting dalam bidang kewangan Islam, yang pada akhir suku kedua tahun ini, menyumbang hampir 19 peratus daripada jumlah aset perbankan.
Sehingga akhir Ogos, pasaran modal Islam turut mencecah RM803 bilion, mewakili 54 peratus daripada pemodalan pasaran Bursa Malaysia.
"Jumlah pembiayaan kini sebanyak RM115 bilion yang merupakan 15.5 peratus daripada portfolio kewangan dalam industri perbankan. Pembiayaan bersih tidak berbayar kekal rendah pada 2.4 peratus," katanya.
Dalam ucaptama paDa Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) Keenam di sini Selasa, Perdana Menteri berkata negara juga berusaha meningkatkan hubungannya dengan sektor kewangan Islam yang lain menerusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).
"Untuk tujuan itu, Malaysia sudah menjalin perjanjian menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai pihak untuk usaha sama dan pembabitan yang lebih baik dalam kewangan Islam untuk manfaat bersama," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia akan terus memimpin cara untuk meningkatkan capaian dalam kewangan Islam dan oleh itu lebih banyak MoU akan dimeterai dengan pihak lain di seluruh dunia pada masa depan.
Dalam ucapannya, Najib berkata kewangan Islam merupakan elemen penting dan strategik dalam pemulihan ekonomi dunia daripada krisis kewangan yang telah menjejaskan kepercayaan terhadap institusi perbankan dan kewangan.
"Meskipun kewangan Islam terlepas daripada krisis yang berpunca daripada amalan pembiayaan dan inovasi kewangan yang tidak berhemat, kita tidak mampu duduk selesa," kata Najib.
Beliau berkata industri itu perlu belajar daripada krisis itu dan mengelaknya pada masa akan datang.
Najib turun menggariskan bebrrapa pemacu utama bagi memastikan daya pulih kewangan Islam dalam menahan impak krisis semasa dan akan datang.
"Pertama, pastikan inovasi dalam kewangan Islam terus berasaskan pada Maqasid al Shariah (objektif Syariah) yang berperanan sebagai bahagian penting dalam paradigma perniagaan kewangan Islam dalam merealisasikan manfaat untuk rakyat," katanya.
Selain itu, pastikan inovasi disokong oleh tadbir urus yang kukuh yang mendukung kebenaran institusi kewangan Islam, kata Najib.
Beliau berkata sistem pengurusan risiko juga perlu bersesuaian untuk melindungi inovasi dalam kewangan Islam.
Najib juga berkata infrastruktur sokongan dan menyeluruh seperti undang-undang, kawal aturan dan kerangka kerja pemantauan perlu ada bagi menangani elemen-elemen unik pembangunan industri kewangan Islam.
"Ia perlu disokong oleh aturan institusi bagi menyelesaikan segera, berkesan dan berkos efektif bagi institusi kewangan yang bermasalah dan kerangka kewangan bersih dan selamat serta sistem insurans deposit," kata Najib.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

