03 November, 2009 19:07 PM

Unjuran Pertumbuhan Positif Bagi Suku Ketiga

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Perbelanjaan yang semakin meningkat menerusi pakej rangsangan, mencerahkan prospek ekonomi untuk mencatatkan pertumbuhan positif pada suku ketiga tahun ini selepas susut 3.9 peratus pada suku kedua, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa.

Unjuran lebih optimistik itu adalah berasaskan kepada aktiviti ekonomi yang sangat diperlukan, yang dicetuskan menerusi pakej-pakej rangsangan yang menangani penurunan permintaan sektor swasta, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata pakej rangsangan fiskal berjumlah RM67 bilion yang disediakan kerajaan -- mewakili hampir 10 peratus daripada keluaran dalam negara kasar -- membantu ekonomi mengharungi kemelesetan global.

"Pakej-pakej rangsangan kita, yang ditentang pada peringkat awal, kini dilihat penting dalam merangsang perbelanjaan," katanya dalam ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Keenam.

"Dan beberapa minggu lepas, kerajaan membentangkan bajet baharu yang akan mengurangkan defisit tahun depan, melabur dalam bidang keutamaan seperti infrastruktur dan perkhidmatan, bagi memastikan ekonomi menuju pemulihan," kata Najib.

Beliau berkata memandangkan ekonomi kini semakin seimbang, negara perlu mencari jalan untuk membuat penyesuaian, bergerak dan bangkit daripada kemelesetan untuk menjadi negara yang berkembang.

"Perubahan struktur yang mengimbangi pasaran buruh dan penggunaan global, memerlukan Malaysia menyemak semula dan mengatur strategi pertumbuhannya," katanya.

Perdana Menteri berkata prospek pertumbuhan masa depan Malaysia bergantung antara lain, ke atas keupayaannya untuk mengenal pasti dan berjaya dalam bidang aktiviti ekonomi baharu, serta mengambil kesempatan terhadap peluang-peluang dalam persekitaran yang mencabar.

Negara juga mesti mengalihkan tumpuan daripada terlalu bergantung terhadap sektor pembuatan dan eksport barangan fisikal kepada pendekatan lebih menyeluruh yang menawarkan nilai yang lebih tinggi dalam ekonomi gloal yang dipacu pengetahuan, kata Najib.



-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.