

Berita-berita Lain
31 Ogos, 2009 11:55 AM
Rakyat Malaysia Di Luar Negara Turut Sambut Merdeka
KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Rakyat dan pelajar Malaysia di luar negara tidak kurang menunjukkan semangat patriotik apabila turut menyambut ulang tahun hari kemerdekaan negara ke-52 dengan mengadakan pelbagai program sambutan.
Di Indonesia, majlis mengibarkan Jalur Gemilang dan doa selamat diadakan di Jakarta malam tadi.
Jalur Gemilang dikibarkan di perkarangan Kedutaan Besar Malaysia dengan diiringi nyanyian beramai-ramai lagu Negara Ku dan Kerana Mu Malaysia, termasuk oleh kumpulan koir kanak-kanak Sekolah Bimbingan Malaysia.
Rakyat Malaysia termasuk golongan profesional dan usahawan, pegawai kedutaan serta para pelajar di beberapa universiti tempatan, turut membaca ikrar Rukun Negara.
Doa kesyukuran kemerdekaan yang turut mendoakan hubungan dua hala yang aman dan harmonis antara Malaysia dengan Indonesia dipimpin oleh Atase Agama kedutaan, Abdul Aziz Jusoh.
Sebaik selesai upacara mengibarkan bendera, para hadirin turut berbuka puasa beramai-ramai diikuti dengan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.
Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di kedutaan, Amran Mohamed Zain dalam ucapannya sebelum itu turut menjelaskan mengenai konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir pada majlis itu ialah Wakil Tetap Malaysia ke Asean, Datuk Hsu King Bee.
Di Australia, kira-kira 200 pelajar Malaysia mengadakan forum tentang perpaduan di Melbourne semalam.
Program dianjurkan oleh Majlis Pelajar Malaysia Australia (MASCA) chapter Victoria yang bertemakan "Road to Unity".
Naib presiden MASCA, Alyaa Ismail berkata tujuan forum tersebut diadakan ialah bagi memastikan generasi Malaysia menghargai dan turut merayakan sambutan kemerdekaan negara.
"Diharapkan menerusi acara seperti ini, pelajar Malaysia di Melbourne dan di seluruh dunia tanpa mengira kaum akan bersatu dan menyumbang bakti kepada negara sebagai pemimpin di masa depan.
"Forum ini menyediakan landasan kepada cerdik pandai muda untuk melahir dan berkongsi fikiran mereka," katanya.
Alyaa, pelajar farmasi di Universiti Monash, berkata sungguh terharu apabila melihat hadirin dan ahli panel menzahirkan rasa sayang dan cinta mereka kepada negara sendiri.
Ahli panel terdiri daripada Tong Gin Chee, Shahrizal Mohd Zin, Zia Mohzani dan David Teoh.
Tong merupakan pelajar kedoktoran dalam program media dan komunikasi di Universiti Melbourne sementara Shahrizal sedang menyiapkan tesis mengenai undang-undang antarabangsa di Universiti Monash.
Zia pula merupakan pelajar tahun akhir ijazah Sarjana Muda Perdagangan di Univeristi Monash dan Teoh sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang arkitek di Universiti Melbourne.
Perantaranya ialah pelajar tahun empat Sarjana Muda Farmasi, Aisha Adam.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

