

Berita-berita Lain
27 Ogos, 2009 20:46 PM
Jasa Allayharham Dr Ismail Kepada OKU Dikenang
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil Khamis menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh dan balunya Datin Hasnah Wahab, atas kematian Allahyarham Ismail awal hari ini.
"Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang sangat besar kepada bidang ekonomi dan pendidikan di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ismail, seorang pakar ekonomi, merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan pertama di dunia yang menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan mencipta sejarah sebagai Senator Dewan Negara yang dilantik daripada kalangan OKU cacat penglihatan di negara ini.
Shahrizat juga menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang telah banyak memperjuangkan peningkatan akses terhadap infrastruktur OKU.
"Saya dan seluruh warga kementerian mendoakan semoga roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t," katanya.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) Nasruddin Hassan Tantawi turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
"Beliau adalah seorang ikon yang berjaya walau dalam keadaan kurang upaya dan peranan serta semangat beliau melebihi daripada orang kebiasaan," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Nasruddin, DPPP menghargai peranan Ismail terutama dalam memperjuangkan nasib dan hak golongan OKU di negara ini.
"Kami berharap agar kerajaan melaksanakan segala usaha dan peranannya sebagai satu penghargaan kepada Allahyarham," tambah Nasruddin.
Ismail, 61, meninggal dunia akibat serangan jantung semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

