

Berita-berita Lain
26 Julai, 2009 21:43 PM
Pertemuan Serius Dengan PAS Dibincang Pada Mesyuarat MT Umno - TPM
Daripada Newmond Tibin

MUNYONYO (Uganda), 26 Julai (Bernama) -- Langkah awal yang akan diambil untuk mengadakan pertemuan serius dengan pemimpin PAS ke arah merapatkan hubungan kedua-dua parti itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyambut baik kesediaan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri PAS itu dengan kerajaan pusat, berkata senario itu akan membuka satu lembaran baru dalam hubungan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri Kelantan dan parti PAS.
"Saya bersyukur kerana ini adalah satu kenyataan yang positif daripada Nik Aziz yang menunjukkan satu sikap Muslim yang baik.
"Oleh kerana ada keputusan seperti itu, langkah-langkah susulan kita boleh ambil dan terbaik dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada penghujung bulan ini iaitu 31 Julai," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia di sini Ahad.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri PAS dengan kerajaan pusat demi menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.
Nik Abdul Aziz berharap perselisihan pendapat yang timbul di kalangan pemimpin politik terutama antara Umno dan PAS sewaktu kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai, baru-baru ini, dilupakan dan kedua-dua pihak kembali semula kepada semangat persaudaraan sesama Islam.
Muhyiddin berkata: "Kita telah menyuarakan sejak awal dulu bilamana soal kerajaan perpaduan dibincangkan, walaupun kita tidak jelas kita telah memberi reaksi yang positif dan kita telah menyatakan kita sedia berbincang demi perpaduan negara dan umat Islam.
"Kalau pun ada perbezaan atau salah faham itu adalah adat manusia."
Beliau berkata mesyuarat MT Umno itu juga mungkin akan menentukan wakil parti itu untuk berbincang dengan pemimpin PAS.
"Kita tidak perlulah meletakkan agenda khusus dalam pertemuan awal itu yang akan membuka langkah permulaan apa-apa perkara yang kita boleh bincang secara bersama," katanya.
Ditanya sama ada Umno akan menghantar barisan pemimpin kanan untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS itu nanti, Muhyiddin berkata pemimpin yang akan mewakili Umno akan dipilih oleh presiden parti.
"Kita berharap pertemuan itu akan menghasilkan sesuatu yang positif yang bukan sahaja membawa kebaikan kepada kaum Muslim tetapi juga rakyat keseluruhannya," katanya.
Mengenai tindakan bekas naib presiden MIC Datuk S.S. Subramaniam yang keluar parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhyiddin berkata perkara itu perlu dilihat sebagai iktibar kepada semua pemimpin komponen parti Barisan Nasional (BN) termasuk MIC.
"Kita harus meneliti di sebalik apa-apa penghijrahan tertentu kepada pihak PKR, sama ada ia sesuatu yang memberi kesan kepada kita (BN) dalam jangka masa sederhana dan jangka panjang. Apa pun yang berlaku, pimpinan MIC harus memberi perhatian," katanya.
Muhyiddin juga menyeru pimpinan parti komponen BN supaya terus bekerja kuat untuk mengukuhkan parti demi kebaikan bersama.
"Apa yang penting ialah BN kembali menjadi parti yang kuat dan dilihat sebagai parti yang bersatu padu," katanya.
Di KUALA LUMPUR, Bendahari UMNO Datuk Ahmad Husni Hanadzlah mahu kenyataan Nik Aziz itu dianggap sebagai suara parti, bukan individu.
Menteri Kewangan kedua itu berkata, sebelum ini Nik Aziz secara terang-terangan menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetuskan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar parti itu baru-baru ini.
Nik Aziz juga, katanya, sebelum ini memberikan kritikan pedas terhadap Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, berikutan sokongannya terhadap idea kerajaan perpaduan.
Enggan pisang berbuah dua kali, Husni berkata kenyataan itu seharusnya dinyatakan sebagai pendirian dan keputusan daripada parti bagi mengelak ia disalahgunakan untuk kepentingan politik dan individu semata-mata.
"Bila betul dia (Nik Aziz) kata nak bersama UMNO demi perpaduan ummah, dia kena bagi pendirian sebagai parti", katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kepong di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta Nik Aziz supaya tidak memutar belitkan kenyataannya itu bagi mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan anggota PAS.
Justeru, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu meminta Nik Aziz supaya tidak mengubah pendiriannya, meskipun mendapat desakan daripada mana-mana pihak.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam turut menyambut baik hasrat Nik Aziz itu.
"Dulu Datuk Nik Aziz selalu kata ok, besok dia kata tak ok kan...jadi saya harap mudah-mudahan Allah buka hati beliau untuk perpaduan orang Melayu dan Islam," kata Mohd Ali kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Agung Wanita Umno Selayang, Selangor.
Mohd Ali berkata, pelawaan Nik Aziz itu juga sesuai dengan matlamat Umno dan Barisan Nasional dalam menyatupadukan orang Melayu dan umat Islam di samping mampu membawa masyarakat Malaysia keseluruhannya ke masa depan yang lebih selamat dan makmur.
Beliau berkata, rakyat tidak boleh dibiarkan kerugian sehingga kedudukan orang Melayu tergugat dan kehilangan semua hak yang dimiliki semata-mata kerana berbeza fahaman politik.
"Jadi, dengan adanya kesedaran daripada Datuk Nik Aziz ini, kita anggap ia satu kesedaran yang sangat baik. Hal kepentingan Melayu ni patut kita pertahankan sebagaimana kaum-kaum lain mempertahankan hak mereka walaupun berbeza parti politik," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Ali menggesa pemimpin Umno termasuk Wanita dan Puteri memainkan peranan menyedarkan masyarakat Melayu akan kepentingan Umno dalam menjamin Melayu terus dipertahankan.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

