27 Mei, 2009 10:43 AM

Gimnasium Rakyat Terabai

Ahmad Muliady Ab.Majid

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Sazali Abd Samad, dahulunya mengangkat besi-besi buruk di bengkel kereta di kampungnya di Batu Pahat, Johor sekitar 1980-an untuk berlatih bina badan kerana tiada kemudahan gimnasium.

Sazali, 42, kemudian bergelar Mr Universe sebanyak empat kali bermula di Melaka pada tahun 2000, Moscow (2004), Republic Czech (2006) dan Korea Selatan (2007).

Tetapi sekarang, orang ramai tidak perlu melalui kesukaran seperti itu lagi untuk bergelar atlet kerana kerajaan membina 92 gimnasium rakyat di seluruh negara, setiap satu berharga antara RM50 ribu dan RM100 ribu.

Malangnya kebanyakan gimnasium rakyat tidak diurus dengan baik membuatkan seorang lagi "kaki gim", Datuk Ahmad Shabery Cheek, menjadi kecewa.

Sebaik dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru, Ahmad Shabery melakukan "walkabout" ke Kompleks Sukan Kg Pandan di sini dan menyaksikan sendiri peralatan senaman menjadi usang kerana tidak diselenggara dengan baik.

Daripada 92 buah projek gimnasium rakyat di seluruh negara, hanya 20 yang mampu beroperasi sendiri tanpa bantuan bulanan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Manakala selebihnya, 72 lagi masih bergantung kepada bantuan sebanyak RM740 sebulan yang disalur oleh KBS.

Daripada 92 gimnasium rakyat itu, Pahang memiliki (10), Selangor (8), Johor (7), Kedah (7), Negeri Sembilan (7), Sabah (6), Melaka (5), Perak (5), Pulau Pinang (5), Sarawak (5), Terengganu (5), Perlis (4), Kelantan (3), Kuala Lumpur (2), Wilayah persekutuan Labuan (2) dan Putrajaya (1).

Sebelas lagi di bawah selenggaraan agensi di bawah KBS, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Tinjauan mendapati ada peralatan yang rosak teruk dan tidak diganti baru malah ada peralatan baru yang hanya tersadai di bangunan lain disebabkan ketiadaan premis khusus untuk menempatkan peralatan itu.

BERNAMA difahamkan, KBS tidak mempunyai peruntukan untuk membaiki peralatan yang rosak dan bantuan yang ada adalah kecil, sebanyak RM290 sebulan dari pihak KBS bagi menanggung kos penyelenggaraan.

Perkara ini diakui sendiri oleh Pengarah Cawangan Kecergasan Nasional, Bahagian Pembangunan Sukan di KBS, Mohd Azhari Mohammad yang bertanggungjawab memantau 92 gimnasium rakyat seluruh negara.

"Saya telah dimaklumkan bahawa Menteri Belia dan Sukan kini berusaha mendapat peruntukan bagi membaiki keadaan dan menambah kemudahan yang terdapat di gimnasium rakyat di seluruh negara," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mohd Azhari berkata bagi menghidupkan kembali gimnasium rakyat, KBS menggalakkan komuniti setempat mewujudkan kelab atau persatuan untuk mentadbir sendiri gimnasium mereka.

"Mereka dibolehkan mengutip yuran keahlian bulanan bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan dengan syarat perlu mendaftar terlebih dahulu dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan," katanya.

Beliau berkata terdapat beberapa gimnasium kini mampu beroperasi sendiri tanpa bantuan KBS dan ada yang boleh menambah peralatan sukan di gimnasium mereka.

"Walaupun terdapat gimnasium rakyat yang diurus sendiri oleh komuniti setempat, bagi memastikan agenda penubuhan gimnasium rakyat tidak keluar daripada matlamat asal, pihak KBS tidak bersikap 'lepas tangan' sebaliknya sentiasa membuat pemantauan,"katanya.

Mohd Azhari berkata selain masalah penyelenggaraan, faktor lain punca gimnasium rakyat kurang mendapat sambutan masyarakat ialah tiada jurulatih berkelayakan bagi memberi bimbingan.

Ini menjadikan gimnasium rakyat kurang menarik berbanding gimnasium yang diusaha secara komersial yang mendapat sambutan menggalakkan.

Beliau berkata KBS kini berusaha untuk menganjurkan kursus kejurulatihan bagi melahirkan lebih ramai jurulatih yang bukan hanya mempunyai sijil kejurulatihan tetapi turut berkebolehan untuk mengendalikan kelas.

"Pada masa kini jurulatih hanya diberi elaun sebanyak RM450 sebulan bagi mengendalikan kelas di gimnasium rakyat dan elaun yang kurang lumayan ini menyebabkan mereka kurang berminat untuk menjadi jurulatih," katanya.

Mohd Azhari berkata lokasi gimnasium yang jauh dari tumpuan awam dan kemudahan pengangkutan awam juga punca ia tidak mendapat sambutan.

"Ketiadaan premis yang sesuai menyebabkan kita terpaksa memilih bangunan kerajaan untuk dijadikan sebagai gimnasium rakyat," katanya.

Sazali ketika ditanya mengenai kelemahan projek gimnasium rakyat, berkata masyarakat seharusnya bersyukur kerana dapat menikmati kemudahan bersenam di gimnasium yang disediakan kerajaan secara percuma.

"Gimnasium rakyat ketika ini, walaupun peralatannya tidak selengkap gimnasium eksklusif tetapi mempunyai peralatan asas yang sesuai untuk tujuan kecerdasan tubuh," katanya.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.