

Berita-berita Lain
10 Februari, 2009 17:54 PM
Semua Pusat Serenti Kini Dikenali Sebagai Puspen
PADANG BESAR, 10 Feb (Bernama) -- Semua pusat serenti di seluruh negara akan berwajah baru sejajar dengan pertukaran namanya kepada Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (Puspen) mulai awal tahun ini.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Abd Bakir Zin berkata sistem serta program rawatan dan pemulihan sedang dan telah dikemaskini di kesemua 28 pusat pemulihan yang mempunyai 6,800 penghuni itu.
Beliau berkata dengan imej baru itu, Puspen akan menyediakan program pemulihan yang lebih berkesan dan merangkumi semua aspek kehidupan setiap penghuninya.
Pendekatan membaca surah-surah pendek secara beramai-ramai semasa perhimpunan pagi setiap hari seperti yang diamalkan di Puspen Bukit Chabang akan dikembangkan di pusat-pusat yang lain, katanya.
Bercakap kepada para pemberita selepas melawat Puspen Bukit Chabang dekat sini hari ini, beliau berkata sepanjang tahun lepas sebanyak RM131 juta dibelanjakan untuk merawat dan memulihkan penagih di pusat pemulihan di seluruh negara.
Beliau berkata peruntukan itu antara lain bagi melaksanakan program bimbingan secara berjadual kepada lebih 33 ribu penagih biasa yang dikenalpasti di dalam kelompok komuniti dan berdaftar dengan AADK di seluruh negara.
Mengenai tahap pencapaian pusat pemulihan di seluruh negara, Abu Bakir berkata lebih 90 peratus penghuni berjaya dipulihkan sepenuhnya manakala hampir 10 peratus didapati mengulangi tabiat buruk mereka.
Sementara itu, Puspen Sungai Petani di Kedah akan dinaik taraf menjadi Pusat Latihan AADK membabitkan kos RM5 juta tidak lama lagi dan dengan perubahan fungsi itu penghuninya akan dipindah ke pusat pemulihan yang lain.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

