

Berita-berita Lain
06 Februari, 2009 16:52 PM
BN Rasmi Ambil Alih Kerajaan Perak
KUALA KANGSAR, 6 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) hari ini secara rasmi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat apabila Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar yang baru.
Majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, berlangsung dalam keadaan Pakatan Rakyat masih enggan menerima hakikat bahawa ia tidak lagi berkuasa di Perak.
Kesemua 28 ADUN PR memulaukan majlis angkat sumpah hari ini manakala penyokong mereka pula mengadakan demonstrasi di luar Masjid Ubudiah, 300 meter dari istana, dan cuba menimbulkan kekecohan dengan membaling kayu, batu dan botol ke arah polis dan kenderaan yang melalui Jalan Istana.
Pelantikan Zambry merupakan penyelesaian kepada kemelut politik di Perak apabila kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri setelah empat orang anggotanya keluar parti dua hari lepas untuk menyokong BN.
Sultan Perak dalam keputusannya semalam menolak permohonan kerajaan Pakatan Rakyat supaya membubarkan DUN Perak sebaliknya baginda menitahkan supaya Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta barisan Exco Kerajaan Negeri pimpinannya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta kerana tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota dewan.
Mengikut Undang-undang tubuh Negeri Perak, jika Mohammad Nizar dan barisan Exco tidak berbuat demikian, jawatan-jawatan itu dianggap telah dikosongkan.
Zambry, 47, adalah bekas anggota exco kerajaan negeri selama satu penggal dari tahun 2004 hingga 2008 sebelum Perak jatuh kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac tahun lepas.
Beliau merupakan Menteri Besar Perak ke-11.
Berangkat ke istiadat itu ialah Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional negeri turut hadir bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, selain dua bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Zambry lulusan ijazah doktor falsafah dari Temple University Amerika Syarikat dalam bidang politik kontemporari, merupakan seorang penulis yang aktif dan ahli politik pertama negara diberikan tauliah sebagai Leftenan Komander Kehormat Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM).
Majlis mengangkat sumpah barisan Exco Kerajaan Negeri yang baru akan berlangsung di Istana Iskandariah pada 10 pagi Selasa ini.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

