

Berita-berita Lain
07 Disember, 2008 09:24 AM
Pembantu Rumah Semakin Bertambah Penting Di Malaysia
KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Kes mahkamah membabitkan pembantu rumah dari Indonesia yang didera, Nirmala Bonat, yang berlarutan sehingga kira-kira empat tahun lamanya, mengetengahkan isu mengenai pembantu rumah warga asing yang menjadi tumpuan ramai di seluruh negara, di samping menyingkap kenyataan jelas betapa 150,000 pembantu rumah dalam negara ketika ini memainkan peranan yang amat penting dalam sebuah keluarga moden di Malaysia.
Banyak keluarga, terutama membabitkan pasangan suami isteri yang bekerja, menjadi amat bergantung kepada bantuan pembantu rumah ini, sehingga perjalanan harian keluarga itu dilihat bagaikan tidak lancar tanpa kehadiran mereka.
Itu sebabnya mengapa kes pembantu rumah Indonesia itu menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia kerana mereka dapat merasakan kes itu seakan-akan mempunyai kaitan dengan kehidupan harian mereka, selain rasa amat bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung pembantu rumah itu.
Pada 27 Nov lepas majikan Nirmala, Yim Pek Ha, yang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen terhadap tiga tuduhan mencederakan pembantu rumahnya dari Indonesia itu, dan beliau dijatuhi hukuman penjara 18 tahun.
Bagaimanapun Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk N. Siva Subramaniam berkata majoriti majikan Malaysia adalah baik, memahami dan bertoleransi.
Beliau berkata walaupun kes-kes penderaan oleh sebahagian kecil majikan memang wujud, kebanyakan majikan melayan pembantu rumah mereka seperti sebahagian daripada anggota keluarga sendiri.
Malah beberapa majikan turut membawa pembantu rumah mereka bercuti dan membekalkan mereka dengan makanan serta lain-lain kemudahan yang terbaik.
Siva berkata walaupun sesetengah pembantu asing ini perlu melalui tempoh waktu bekerja yang lebih panjang dengan kebebasan yang terhad, namun mereka diberi ganjaran yang memadai, sama ada dalam bentuk wang atau kemudahan lain seperti set televisyen dalam bilik mereka.
Menurutnya dalam kes Nirmala, hukuman berat yang dikenakan terhadap majikan itu seharusnya menjadi amaran kepada kumpulan kecil majikan yang tidak bertanggungjawab, bahawa mereka perlu melayan pembantu asing dengan baik.
Sementara itu Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) A. Balasubramaniam berkata pembantu rumah ini berhak mendapat perlindungan undang-undang dalam menjaga pelbagai aspek pekerjaan mereka dari soal gaji, sehingga kepada soal berkaitan kemudahan dan pemberhentian kerja.
Katanya walaupun pembantu asing tidak dapat menganggotai mana-mana kesatuan sekerja, namun mereka boleh mendapatkan bantuan daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Tenaganita, yang boleh membantu.
Seorang jurucakap Jabatan Tenaga Rakyat berkata pembantu asing yang merasakan mereka tidak mendapat layanan yang adil boleh mendapatkan bantuan perundangan sekiranya ia membabitkan kontrak bertulis.
Kemunculan pembantu rumah warga asing di Malaysia bermula sejak tahun-tahun 1980an, apabila kerajaan yang memahami kepentingan kehadiran mereka, menggubal peruntukan-peruntukan bagi membolehkan pembantu rumah dari Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Kemboja dan India, dibawa masuk ke dalam negara.
Sejak tahun-tahun kebelakangan ini pula, kehadiran mereka di rumah-rumah di Malaysia semakin menjadi satu fenomena, memandangkan semakin ramai kaum wanita kini bekerja, dan kanak-kanak pula perlu diberi perhatian di rumah.
Rakyat Malaysia, terutama di kawasan-kawasan bandar dimana pasangan suami isteri bekerja, kini dilihat terlalu bergantung kepada pembantu rumah warga asing ini, sehingga keluarga itu dilihat seolah-olah tidak dapat berfungi dengan berkesan tanpa mereka.
Puan Elizabeth Wong, akauntan dari Petaling Jaya, adalah contoh paling ketara mengenai keadaan ini.
"Disebabkan kos hidup yang tinggi di bandar, saya serta suami saya terpaksa bekerja, dan ia membuatkan kami amat memerlukan seseorang untuk membantu kami menjaga rumah serta anak-anak semasa kami keluar bekerja. Kedua ibu bapa dan saudara mara kami tinggal di Johor, jadi kami tidak dapat harapkan bantuan mereka sangat.
"Kami pula takut meninggalkan anak-anak kami dengan pembantu di luar daripada rumah sendiri. Tidak ada lagi jalan lebih baik daripada mendapatkan khidmat pembantu rumah bagi menjaga rumah dan anak-anak semasa kami keluar bekerja. Tanpa pembantu rumah, kami benar-benar tidak terdaya," katanya.
Mary Gomez, seorang pekerja sosial berkata pembantu rumah ini menyediakan perkhidmatan yang penting kepada negara, oleh itu mereka perlu diberi perlindungan dan penghargaan yang sewajarnya.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

