

Berita-berita Lain
14 Oktober, 2008 17:58 PM
SAS Sasar Kembang Perniagaan Dalam Lebih Banyak Sektor
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- SAS Institute Sdn Bhd (SAS Malaysia) menyasar mengembangkan perniagaannya dalam lebih banyak sektor termasuk pembuatan, runcit, minyak dan gas, penjagaan kesihatan dan telekomunikasi.
Sektor-sektor ini yang dianggap semakin meningkat menawarkan potensi tinggi bagi pendapatan perniagaan, kata Pengurus Pemasaran syarikat Jeanisha Wan.
Sebagai peneraju pasaran dalam perkhidmatan dan perisian analisis perniagaan, SAS Malaysia telah menawarkan hampir 100 peratus perkhidmatannya kepada bank tempatan, katanya selepas taklimat bagaimana teknologi analisis boleh membantu organisasi berkembang dalam keadaan kegawatan ekonomi, di sini, hari ini.
Wan berkata sektor kewangan mendapat manfaat daripada teknologi analisis dengan penyelesaian yang disediakan membantu syarikat menambah baik langkah membuat keputusan mereka serta berkembang malahan dalam keadaan ekonomi perlahan.
"Menggunakan teknologi analisis, syarikat berupaya meramal atau menganalisis apa yang akan berlaku seterusnya, sama ada aliran itu berterusan dan apa yang mereka boleh lakukan," katanya.
Menurut Wan, teknologi analisis akan membantu syarikat mengenal pasti pemacu perniagaan utama agar mereka boleh memanfaatkan peluang dan mengurangkan ancaman lebih pantas berbanding pesaing mereka.
"Ini akan membantu syarikat meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos," katanya.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

