20 Oktober, 2009 13:33 PM

Agong Nasihat Jemaah Haji Jaga Kebersihan

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menasihatkan 26,000 jemaah haji Malaysia agar sentiasa menjaga kebersihan diri, keluarga dan kawasan sekeliling sepanjang berada di Mekah berikutan kebimbangan penularan penyakit Influenza A (H1N1) yang kini melanda dunia.

"Beta berharap para jemaah sentiasa menjaga kebersihan diri dan keluarga dan kawasan sekeliling yang boleh mempengaruhi jangkitan dan merebaknya penyakit itu," titah baginda semasa mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan kedua jemaah haji yang terdiri daripada 350 orang di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini.

Turut hadir Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Duta Arab Saudi ke Malaysia Mohamed Reda Abu Al-Hamayel dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Baginda turut menasihatkan jemaah haji agar sentiasa bersabar ketika menunaikan rukun Islam kelima itu terutama semasa menghadapi dugaan Allah di samping menjaga imej dan nama baik negara.

"Beta dan Raja Permaisuri mendoakan agar semua jemaah haji dapat mengerjakan haji dengan sempurna, sihat walafiat dan kembali ke tanah air dengan haji mabrur," titah baginda.

Sementara itu, Jamil Khir pada sidang akhbar selepas itu berkata Malaysia sekali lagi mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi kerana kemampuan Tabung Haji menyediakan perkhidmatan pengurusan haji yang terbaik.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi telah memilih Malaysia untuk dijadikan penanda aras dalam aspek itu dan meminta negara lain menjadikan Malaysia sebagai model dalam menguruskan jemaah haji.

Mengenai jemaah haji negara, Jamil Khir berkata walaupun kesemua mereka telah mengambil suntikan influenza bermusim sebagai suntikan tambahan, mereka perlu sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengikut langkah-langkah pencegahan yang disaran.

Beliau berkata sebagai persediaan, Pasukan Petugas Perubatan Tabung Haji yang dilengkapi tenaga pakar serta peralatan yang mencukupi, telah berada di Mekah bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Seramai 1,082 jemaah haji memulakan perjalanan mereka ke Mekah dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini, dengan kumpulan pertama 382 jemaah berlepas pada pukul 3.30 pagi diikuti kumpulan kedua (350 orang) tengah hari ini dan kumpulan ketiga (350 orang) akan berlepas malam ini.

Selain KLIA, penerbangan haji menggunakan pesawat Malaysia Airlines dan Saudi Arabian Airlines turut dibuat melalui lapangan terbang di Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Johor Baharu, Kuching dan Kota Kinabalu.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.