

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
12 Oktober, 2009 16:29 PM
145 Pesakit Baru ILI Dimasukkan Ke Hospital
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama)-- Seramai 145 pesakit baru gejala penyakit serupa Influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 120 kes didiscaj menjadikan jumlah semasa kes yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 660 kes di 77 buah hospital.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata daripada jumlah itu, hanya 29 pesakit atau empat peratus merupakan kes Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.
"Daripada 29 pesakit Influenza A (H1N1) yang menerima rawatan sebanyak sembilan kes atau 31 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Pada hari ini, terdapat satu kes baru di ICU dan tiada kes didiscaj," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan di sini pada Isnin.
Beliau mengesahkan tiada kematian akibat Influenza A (H1N1) yang didaftarkan hari ini menjadikan jumlah kematian kekal 77 orang.
Dr Mohd Ismail Ismail berkata di peringkat global sehingga 4 Okt lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih daripada 378,223 kes yang disahkan Influenza A (H1N1) dengan 4,525 kematian.
Katanya sempena musim peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), kementerian menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa memantau tahap kesihatan anak-anak dan memaklumkan kepada pihak sekolah tentang kesihatan anak masing-masing.
"Kami juga ingin meminta kerjasama petugas-petugas yang mengawasi peperiksaan agar mengasingkan pelajar yang mempunyai gejala ILI dan memastikan mereka memakai topeng muka," tambahnya.
Walaupun laporan kes Influenza A (H1N1) mencatatkan penurunan, Dr Mohd Ismail bagaimanapun meminta orang ramai mengamalkan langkah-langkah pencegahan kerana penularan penyakit itu masih aktif dalam komuniti.
Maklumat dan perkembangan terkini jangkitan Influenza A (H1N1) boleh diperoleh melalui talian hotline 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 mulai pukul 8 pagi hingga 5.30 petang atau layari laman web kementerian di www.moh.gov.my.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

