

Berita-berita Lain
07 November, 2009 22:48 PM
Kementerian Beri Tumpuan Khusus Untuk Projek Jalur Lebar
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan memberikan tumpuan khusus kepada pelaksanaan projek jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) agar khidmat itu dapat dinikmati rakyat mulai tahun depan seperti yang dijadualkan.
Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata meskipun kementerian menumpukan kepada projek jalur lebar itu, namun pemantauan ratusan projek lain di bawah kementerian itu akan dilakukan secara berterusan.
"Kami di sini mempunyai 18 jabatan dan kita juga mempunyai beratus-ratus projek yang kita pantau terus menerus tetapi bagi saya khususnya rakan-rakan di kementerian ingin menegaskan tentang jalur lebar satu daripadanya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Laman Budaya Rakyat di Dataran Merdeka di sini, Sabtu malam.
Selain itu, beliau berkata kementerian juga memberikan tumpuan penuh dalam menjayakan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Yang keduanya ialah menjayakan 1Malaysia menerusi kefahaman, penerimaan dan amalan yang mana setakat ini, indeks pencapaian kita memuaskan dan saya berharap Perdana Menteri dapat merasai apa yang kita nyatakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib semalam mengenai langkah mengagihkan tugas, tanggungjawab dan had masa kepada pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan strategi dan langkah yang diumumkan dalam Bajet 2010 dilaksanakan mengikut jadual.
Mengenai Laman Budaya Rakyat Kuala Lumpur anjuran kementerian itu yang di adakan pada setiap malam minggu bermula pukul 6 petang hingga 10.30 malam, Rais berkata ia adalah satu inisiatif kementerian bagi membolehkan rakyat bersantai selain memberi nafas baru kepada Kuala Lumpur.
Beliau berkata program itu yang telah masuk kali ketiga hari ini, merupakan ilham yang diperolehi ketika mengadakan lawatan ke Sepanyol, Portugal dan London.
"1Malaysia juga akan bercambah dari sini dan kita ingin terus melibatkan kaum-kaum lain seperti Cina dan India (untuk program tersebut). Minggu depan kita akan bawa mereka yang dari Sabah dan Sarawak untuk mengadakan tarian, nyanyian dan memperlihatkan budaya mereka. 1Malaysia memang boleh bercambah terus dari gelanggang kita di sini," katanya.
Laman Budaya Rakyat memberi peluang kepada pelancong mengalami seni budaya tempatan selain memberi ruang kepada penggiat seni memaparkan karya dan memberi peluang kepada generasi muda menyertai aktiviti seni.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

