

Berita-berita Lain
07 November, 2009 17:33 PM
Cuaca Di Kelantan Dan Terengganu Bertambah Baik
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Amaran hujan lebat "Peringkat Merah" yang dikeluarkan Jumaat untuk negeri Kelantan dan Terengganu (daerah Besut) ditamatkan berikutan keadaan cuaca bertambah baik.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi hari ini, penamatan amaran hujan lebat itu turut meliputi kawasan-kawasan lain di Terengganu iaitu "Peringkat Jingga" serta "Peringkat Kuning" di Perlis, Kedah, Perak Utara dan Pahang.
Amaran Peringkat Merah merujuk kepada ribut tropika atau taufan dengan kelajuan angin sekurang-kurangnya 60km sejam disertai hujan sederhana menjadi lebat.
Keadaan itu dijangka menyebabkan banjir di beberapa kawasan rendah di tebing-tebing sungai, kata kenyataan itu.
Amaran Peringkat Jingga pula merujuk kepada sistem tekanan rendah / lekukan tropika dengan kelajuan angin 50-60 km sejam disertai hujan sederhana menjadi lebat yang dijangka menyebabkan banjir di kawasan rendah dan tebing sungai.
Sementara amaran Peringkat Kuning pula merujuk kemungkinan berlaku luruan monsun dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

