05 November, 2009 17:03 PM

MBI Minta Pemilik Bangunan Usang Perbaiki Bangunan

IPOH, 5 Nov (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meminta para pemilik bangunan-bangunan lama terutama di kawasan "pekan lama" di sini supaya menyelenggara bangunan yang telah usang dan menimbulkan ancaman keselamatan.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Roshidi Hashim berkata ada bangunan berusia lebih 100 tahun tetapi tidak diselenggara dengan baik menyebabkan dinding dan bumbungnya retak dan tertanggal serta ditumbuhi pokok liar.

Beliau berkata MBI telah menghantar notis kepada pemilik bangunan untuk membersihkan bangunan serta mengecat semula premis mereka.

Tahun lepas, sebanyak 555 notis dan 10 kompaun berjumlah RM2,500 dikeluarkan manakala sehingga September tahun ini, 503 notis dan 61 kompaun berjumlah RM15,250 telah dikenakan, katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata MBI juga turut mengeluarkan 26 notis meroboh atau membina semula beberapa bangunan usang yang terbakar dan rosak teruk.

Roshidi berkata bangunan usang seperti itu boleh mengancam keselamatan dan MBI terpaksa membina dinding penghalang di sekeliling sebuah bangunan di sini apabila pemilik bangunan berkenaan gagal dikesan sehingga kini.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.