

Berita-berita Lain
05 November, 2009 16:44 PM
MIC Dapatkan Khidmat UKM Bantu Mantapkan Cadangan Untuk RMK-10
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- MIC mendapatkan khidmat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membantu parti itu dalam memantapkan cadangan-cadangannya buat Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata presidennya Datuk Seri S.Samy Vellu.
Beliau berkata khidmat kumpulan perunding yang terdiri daripada ahli akademik dari Institut Kajian Etnik (IES) UKM itu bertujuan memantapkan lagi cadangan-cadangan yang akan dikemukakan oleh MIC bagi RMK-10, menerusi hasil penyelidikan mereka.
Katanya walaupun kumpulan perunding itu sudahpun meneliti deraf RMK-10 dalam menggariskan cadangan-cadangan parti, MIC masih berhasrat untuk "berbincang lagi dengan perunding-perunding" dari kalangan pemimpin masyarakat kaum India dan kumpulan rakyat yang prihatin, untuk mengemaskan lagi cadangan-cadangannya.
"Kami memerlukan input anda bagi merumuskan dokumen cadangan-cadangan ini, bagi menjadikan ia lebih meyakinkan," katanya pada majlis "Rundingan Nasional Mengenai kaum India Malaysia dan Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2016)" anjuran bersama oleh badan sosial MIC, Yayasan Strategik Sosial (YSS) dan IES.
Wakil dari kira-kira 96 pertubuhan sosial berkaitan kaum India menghadiri mesyuarat sehari itu, yang turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia yang juga Naib Presiden MIC Datuk Dr S.Subramaniam.
Samy Vellu berkata MIC berhasrat untuk bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan dan mengkaji agenda bersama mereka dalam meraih manfaat daripada RMK-10 khususnya bagi masyarakat India.
Beliau berkata segala komen, cadangan dan usul dari pertubuhan-pertubuhan ini amat berharga dan amat berguna dalam mengukuh dan memantapkan cadangan-cadangan MIC yang akan disampaikan kepada kerajaan menerusi Dr S.Subramaniam.
"Objektif kami dalam rundingan ini adalah untuk menimbang dan mengoptima pelbagai aspek dasar-dasar yang memberi kesan terhadap kualiti hidup komuniti kaum India secara keseluruhannya, terutama golongan miskin," katanya.
Beliau berkata adalah penting bagi MIC untuk menyampaikan cadangan-cadangannya kepada kerajaan sebelum RMK-10 dibentangkan di Parlimen, yang dijangka pada bulan Jun nanti.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

