05 November, 2009 16:39 PM

Sidang DUN Sarawak Di Kompleks Baru 9 Nov

KUCHING, 5 Okt (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan mengadakan persidangan sulungnya di Kompleks DUN yang baru di Petra Jaya pada 9 hingga 18 Nov ini, kata Speaker Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar di sini pada Khamis.

Asfia berkata tiga rang undang-undang akan dibentangkan pada persidangan iaitu Rang Undang-Undang Pemaju Perumahan (Kawalan dan Lesen) 2009, Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak 2009 dan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 (2009).

"Sebelum persidangan pada 7 Nov ini kita akan mengadakan satu mesyuarat pra persidangan Barisan Nasional (BN) di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)," katanya ketika menyampaikan taklimat kepada media di Kompleks DUN baru di sini.

Seramai 30 anggota media daripada Persatuan Penulis Bahagian Kuching (KDJA) melawat kompleks DUN, yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Julai lepas.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 272 soalan dikemukakan bagi sesi soal jawab persidangan.

Mohd Asfia berkata segala persiapan sedang giat dilakukan termasuk kemudahan kepada pihak media untuk memastikan persidangan pertama di kompleks baru yang bernilai RM300 juta itu berjalan dengan lancar.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.