04 November, 2009 21:48 PM

Melaka International Bike 2009 Himpun 1,000 Motosikal Pelbagai Generasi

MELAKA, 4 Nov (Bernama) -- Lebih 1,000 motosikal dari pelbagai generasi dijangka akan mengambil bahagian dalam festival Melaka International Bike 2009 yang julung-julung kalinya diadakan, Jumaat ini.

Penganjur, Azman A Rahman berkata penunggang motosikal klasik dan superbike dari Malaysia, Singapura dan Thailand akan menyertai festival tiga hari yang bertemakan "Ride for Gaza" itu, yang bertujuan mengumpul derma dan sumbangan kepada rakyat Palestin serta Tabung Bencana Alam negeri Melaka.

"Kami sasar kutipan sehingga RM10,000 pada kemuncak festival Sabtu ini yang akan menyaksikan konvoi motosikal bermula dari Rumah Media Melaka di Ayer Keroh, dan berakhir di Memorial Perisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata orang ramai yang mengunjungi festival itu boleh turut menderma dengan membuat pembayaran untuk menyertai aktiviti-aktiviti seperti bergambar dengan motosikal, menunggang motosikal, jualan pelekat, membeli bendera dan sebagainya.

Azman yang juga Pengarah Eksekutif Realhouse Venture Sdn Bhd berkata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijangka akan menyertai konvoi motosikal itu dengan menunggang motosikal klasik miliknya sendiri.

Katanya aktiviti itu akan dijadikan acara tahunan yang akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Melaka.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.