

Berita-berita Lain
04 November, 2009 16:32 PM
Muhyiddin Mahu Mekanisme Tarik Pengusaha IKS Dalam Akuakultur
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta mewujudkan mekanisme khusus untuk menarik lebih ramai pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) terlibat dalam sektor akuakultur.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mekanisme itu penting bagi membolehkan SME membantu dalam meningkatkan pengeluaran industri perikanan di negara ini dan mengembangkan potensi sektor akuakultur ke peringkat antarabangsa.
"Apa yang penting bagaimana kita mahu menarik pelaburan sama ada pelaburan sederhana atau besar. Jadi, saya fikir sektor ini berpotensi jika lebih ramai pengusaha IKS boleh terlibat dalam sektor akuakultur," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Akuakultur Asia-Pasifik dan Ekspo Antarabangsa Makanan Laut Malaysia 2009 PWTC di sini Rabu.
Katanya antara mekanisme yang sewajarnya disediakan oleh kementerian adalah untuk mewujudkan kembali tabung pembangunan akuakultur yang pernah disediakan dulu serta memudahkan proses kelulusan pinjaman yang dipohon oleh pengusaha SME.
Muhyiddin berkata kementerian juga perlu meluaskan kerjasama dengan Mardi bagi membantu IKS daripada segi pemprosesan dan teknologi agar lebih banyak produk berkualiti dapat dihasilkan sejajar dengan peningkatan penggunaan produk berasaskan ikan di seluruh dunia.
"SME juga boleh bekerjasama dengan sektor swasta bagi membantu membangunkan ternakan akuakultur dengan membeli daripada syarikat swasta yang mengusahakan akuakultur untuk diproses dalam bentuk makanan sejuk beku.
Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata akan bersungguh-sungguh memaju dan mengembangkan pasaran produk berasaskan perikanan dan hasil pertanian buatan Malaysia di peringkat global.
"Malaysia tidak mempunyai pilihan kecuali bergantung kepada pertanian untuk memenuhi keperluannya," kata Timbalan Perdana Menteri.
Persidangan dan ekspo yang berlangsung selama empat hari bermula semalam itu turut dihadiri lebih 1,000 peserta tempatan dan luar negara.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

