

Berita-berita Lain
04 November, 2009 16:22 PM
Jenazah Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Dikebumikan
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Jenazah Pengerusi Suruhanjaya Tenaga allahyarham Datuk Ir Pian Sukro, 63, yang meninggal dunia akibat serangan angin ahmar di Agostino Gemelli University Polyclinic di Rome Sabtu lepas, dikebumikan di Tanah Perkuburan islam Bukit Kiara di sini Rabu.
Jenazahnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.55 pagi sebelum dibawa ke Balai Islam di Kompleks Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Bangsar untuk disembahyangkan.
Ia juga bagi membolehkan sahabat handainya memberikan penghormatan terakhir kepada allahyarham.
Antara yang hadir ialah Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan timbalannya Noriah Kasnon.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Dr Kobkua Suwannathat, dua anak lelaki dan seorang wanita.
Anak sulungnya Bhuni Mas, 34, yang merupakan jurutera TNB berkata bapanya adalah seorang yang suka berjenaka dan sentiasa sihat.
"Arwah baru saja menjalani pemeriksaan kesihatan sejak beberapa bulan lalu dan dia dalam keadaan sihat... cukup baik. Kami memang benar-benar terkejut dengan pemergiannya," katanya.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

