04 November, 2009 16:28 PM

Warga Emas Mahu Simpan Pampasan Insuran Untuk Pengajian Cucu

KULIM, 4 Nov (Bernama) -- Sepasang warga emas berhasrat menyimpan wang pampasan sebanyak RM108,000 yang diperolehi daripada skim insuran khairat kematian Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia (MTSU), untuk membiayai pengajian cucu mereka.

Pasangan Jauriyah Md. Daud, 53, dan suaminya Abdul Wahid Yaakob, 56, dari Kg. Charok Bemban, Kupang Baling dekat sini, menerima pampasan selepas kematian anak mereka Mohd Shubky Wahid, 29, akibat satu kemalangan jalan raya di Jalan Labu Besar - Kulim, ketika pulang dari kerja Oktober tahun lepas.

Jauriyah berkata, dia sangat bersyukur kerana menerima pampasan berkenaan dan akan menyimpan wang itu untuk perbelanjaan cucu mereka, Mohd Shamil Izham, 1, yang merupakan anak tunggal Mohd Shubky.

Presiden MTSU, Mohd Suhaimi Othman berkata, Mohd Shubky yang merupakan bekas pekerja am Jabatan Ukur di sini, adalah ahli pertama antara 200 orang ahli MTSU di negara ini menerima pampasan berkenaan.

Cek pampasan berkenaan disampaikan Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Negeri Kedah Mohammad Yunus Md Yusuf, dalam satu majlis ringkas yang diadakan di bangunan pejabat berkenaan, di sini Rabu.

Mohammad Yunus turut menyeru semua kakitangan bahagian teknikal di semua jabatan di negeri ini supaya menjadi ahli MTSU sekali gus menyertai skim insuran khairat kematian demi kebaikan masa depan keluarga sekiranya ditimpa kejadian tidak diduga.

Beliau berkata, terdapat ramai kakitangan terutama yang bertugas di JUPEM, bekerja di luar pejabat dan mudah terdedah kepada kemalangan.

"Jadi amat wajar mereka bersedia dengan perlindungan insurans kerana akan turut mendapat bantuan serta khidmat nasihat mengenai kepentingan perjawatan mereka," katanya.

Sementara itu Setiausaha Agong MTSU, Samuel Ganesan berkata jumlah keseluruhan pampasan yang diperolehi keluarga Jauriyah sebanyak RM131,000 dan bayaran RM23,000 telah diserahkan kepada keluarga berkenaan Mei lepas.



-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.