

Berita-berita Lain
04 November, 2009 16:09 PM
Pelukis Pelan Jadi Perintis Amalan Bekerja Dari Rumah
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Seramai 35 pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipilih menjadi perintis program kerajaan melaksanakan amalan kerja dari rumah bermula 1 Jan depan.
Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata mereka akan melalui tempoh percubaan selama tiga bulan sebelum kerajaan memutuskan sama ada meneruskan atau menghentikan program itu.
"Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memacu negara ke arah menjadi negara maju pada masa depan. Saya percaya program ini akan memberi banyak manfaat, bukan sahaja kepada kerajaan malah kepada pekerja itu sendiri.
"Pogram perintis ini akan dilaksanakan dari 1 Jan sehingga penghujung Mac 2010 dan sekiranya didapati produktivitinya tidak meningkat, program ini akan dibatalkan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Rabu.
Shaziman berkata jika berjaya, program itu yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan membantu kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya menangani masalah kesesakan di tempat kerja dan secara tidak langsung turut meringankan beban kepada pekerja terutama dari sudut kos petrol, tol manakala penjawat awam wanita boleh memperuntukkan lebih masa bersama keluarga.
Beliau berkata program seumpama itu sudah banyak dilaksana oleh syarikat-syarikat ternama dunia dan terbukti berjaya meningkatkan produktiviti syarikat.
"Saya lihat banyak juga syarikat ternama dunia membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah...cuma kerajaan sahaja yang belum melakukannya. Sebab itu Perdana Menteri bersetuju untuk membenarkan JKR menjadi perintis kepada program untuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah," katanya.
Shaziman berkata pelukis pelan dipilih sebagai perintis program itu kerana bidang kerja mereka lebih tertumpu kepada penggunaan komputer dan banyak masa mereka dihabiskan di hadapan komputer.
"Bukan semua orang sesuai dan boleh bekerja dengan kaedah ini kerana hanya pelukis pelan bekerja dengan komputer. Kebanyakan masa dan kerja mereka hanyalah dengan komputer," katanya.
Shaziman bagaimanapun berkata, sekiranya produktiviti pekerja ini lebih rendah daripada mereka yang bekerja di pejabat, program ini akan dibatalkan.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

