04 November, 2009 12:50 PM

Jabatan Persekutuan Diminta Terap Nilai Inovasi Dan Kreativiti

KUCHING, 4 Nov (Bernama) -- Jabatan dan agensi persekutuan di Sarawak perlu mengambil peluang untuk menjadi organisasi berprestasi tinggi dengan menerapkan nilai inovasi dan kreativiti dalam urusan kerja seharian, kata Setiausaha Persekutuan Sarawak Md Yahaya Basimin di sini pada hari Rabu.

Beliau berkata Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan oleh kerajaan merupakan kaedah yang menjurus ke arah budaya pencapaian cemerlang memandangkan setiap perkhidmatan yang diberi akan diukur dan dinilai secara objektif selain mencari kaedah terbaik dalam melaksanakan sesuatu tugas.

"Bagi merealisasikan hasrat tersebut penjawat awam perlu mempunyai ciri-ciri penjawat awam yang mempunyai minda kelas pertama seperti menyemai sikap proaktif, inovatif, kreatif, sedia berubah dan mempunyai nilai tambah," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan jabatan dan agensi persekutuan Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar di sini.

Md Yahaya berkata peranan yang dimainkan oleh penjawat awam amat besar khususnya dalam meletakkan Malaysia dalam ranking terbaik di mata dunia khususnya dalam bidang inovasi.

Md Yahaya berkata ketua jabatan juga perlu mencari kaedah terbaik supaya pegawai di bawah seliaan masing-masing dapat bersama-sama menyumbang tenaga ke arah mencapai sasaran organisasi berprestasi tinggi melalui pendekatan kemanusiaan dalam kepimpinan di agensi masing-masing.

Menurutnya teguran yang bersifat kemanusiaan khususnya kepada penjawat awam yang tidak mencapai standard yang ditetapkan oleh jabatan lebih meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada penjawat awam yang terbabit.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.