03 November, 2009 22:09 PM

Pakistan Mahu Tingkatkan Hubungan Dagang Dengan Malaysia - Menteri Luar Pakistan

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Pakistan mahu meningkatkan hubungan perdagangan dengan Malaysia dan akan mencari bidang kepentingan bersama bagi mewujudkan usahasama, kata Menteri Luar Pakistan Shah Mahmood Qureshi.

Beliau menggesa syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur di dalam industri agro memandangkan Pakistan menawarkan banyak peluang yang antara adalah beras, daging lembu dan kambing halal, mangga, limau dan banyak lagi.

"Terdapat pasaran di Malaysia dan Pakistan berharap lebih banyak usahasama dalam industri makanan dengan Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan model masjid Badshashi kepada Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini, Selasa.

Mengenai model itu, Shah Mahmood berkata masjid itu mempunyai sejarah, kebudayaan dan nilai agama yang hebat dan ia mewakili kehebatan seni bina Mogul.

Katanya ia merupakan tambahan yang bernilai dalam koleksi Muzium Kesenian Islam dan bakal memperkenalkan Pakistan kepada ribuan rakyat Malaysia dan pelancong asing yang mengunjungi muzium itu setiap hari.

Masjid Badshahi telah dibina oleh Maharaja Mogul yang ulung, Aurangzeb Alamgir pada 1671, mampu memuatkan lebih 10,000 jemaah dalam dewan solat utamanya dan 100,000 di laman dalam dan serambi anjungnya.

Ia merupakan mercu tanda terkenal bagi bandaraya kedua terbesar Pakistan, Lahore dan menjadi tarikan utama pelancong yang memaparkan keindahan, keghairahan dan keagungan era Moghul.

Shah Mahmood kemudian menyerahkan model skala masjid itu kepada Timbalan Pengerusi Yayasan AlBukhary Datuk Ismail Yusof.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.