

Berita-berita Lain
03 November, 2009 19:28 PM
Perancangan Pendidikan RMK-10 Tumpu Empat Sub-NKRA
PETALING JAYA, 3 Nov (Bernama) -- Perancangan pendidikan bagi tahun depan dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan ditumpukan kepada pelaksanaan empat sub-Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata empat sub-NKRA pendidikan ialah memperluas dan memantapkan pendidikan prasekolah, meningkatkan kadar literasi dan numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi dan mengiktiraf pengetua dan guru besar yang menunjukkan prestasi cemerlang.
"Pada hemat saya, adalah tepat sekali sekiranya kementerian melaburkan peruntukan yang diperolehinya bagi keempat-empat sub-NKRA ini kerana ianya akan memberi impak yang besar kepada pencapaian pembelajaran," katanya ketika merasmikan Seminar Pembangunan Pendidikan RMK-10 di sini Selasa.
Beliau berkata objektif yang perlu dicapai daripada pelaburan itu ialah memastikan murid mendapat pembelajaran yang optimum mengikut kemampuan mereka.
"Ia juga akan dapat memberikan sumbangan yang berguna kepada masyarakat dan negara hasil persekolahan dan pendidikan yang mereka perolehi," katanya.
Beliau berkata aspek pembangunan modal insan akan dijadikan teras utama dalam perancangan pembangunan pendidikan sepanjang RMK-10 yang merangkumi segala usaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran, membentuk individu berintelek dalam bidang Sains dan Teknologi serta memupuk sikap, nilai dan etika yang positif.
Muhyiddin berkata perancangan pembangunan pendidikan juga hendaklah dibuat secara cermat dan teliti untuk mengelakkan pembaziran wang negara.
"Sebelum ini terdapat sekolah yang memiliki jumlah murid yang jauh lebih rendah daripada kapasiti sebenar sekolah. Ada juga sekolah harian yang mempunyai makmal sains tulen tetapi tidak pula mempunyai kelas aliran sains, mengakibatkan kemudahan yang tersedia tidak diguna pakai," katanya.
Seminar dua hari anjuran Kementerian Pelajaran itu diadakan antaranya untuk mendapatkan cadangan dari segi dasar dan hala tuju perancangan pembangunan pendidikan bagi RMK-10 serta memastikan perancangan itu berasaskan keperluan sebenar dan semasa.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

