

Berita-berita Lain
17 Julai, 2009 00:13 AM
Teo Sepatutnya Daftar Perkahwinan Esok
SHAH ALAM, 16 Julai (Bernama) -- Pegawai khas kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teo Beng Hock, yang ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini Khamis sepatutnya mendaftarkan perkahwinannya esok.
Anggota Exco, Ean Yong Hian Wah yang menyatakan rasa terkejut dan kesal dengan kejadian itu berkata Teo sepatutnya mendaftarkan perkahwinannya esok dan tiada sebab mengapa beliau harus mengambil tindakan yang boleh menyebabkan nyawanya melayang.
"Oleh itu saya mahu SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) memberikan penjelasan yang adil kepada semua pihak terutama anggota keluarga, parti DAP, kerajaan negeri serta rakyat Selangor bagaimana kejadian itu boleh berlaku.
"SPRM harus memberi penjelasan kerana sebelum kejadian itu berlaku Teo berada di bawah kawalan mereka," kata Yong kepada pemberita di tempat kejadian.
Teo merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri baru-baru ini.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull dalam sidang media di tempat kejadian Khamis berkata, Teo datang ke pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam pada 5 petang semalam untuk memberi keterangan dan dibenarkan pulang pada pukul 3.45 pagi ini.
Beliau berkata sebelum pulang Teo berjanji akan datang semula ke pejabat SPRM Selangor untuk membawa beberapa dokumen bagi membantu siasatan.
"Beliau (Teo) bagaimanapun berkata beliau ingin berehat dulu di bilik tetamu pejabat SPRM dan SPRM membenarkannya. Pada pukul 6 pagi dia masih kelihatan tidur di atas sofa dan selepas itu SPRM tidak melihat beliau lagi.
Mayat Teo, 30-an ditemui dalam keadaan teruangkup pada kira-kira 1.30 tengah hari.
Sehingga pukul 9 malam mayatnya masih belum dikeluarkan dari tingkat lima bangunan itu dan pihak polis juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.
Beberapa anggota keluarga Teo telah datang ke tempat kejadian namun enggan memberikan sebarang ulasan kepada pemberita. Turut berada di tempat kejadian ialah beberapa orang anggota exco dari DAP.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

