22 Mac, 2009 18:59 PM

PPBM Gesa Kembalikan Martabat Bahasa Melayu

BESUT, 22 Mac (Bernama) -- Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) menggesa Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bersama-sama mengembalikan martabat bahasa Melayu dan mendaulatkannya tanpa sebarang alasan.

Presiden PPBMM, Prof Madya Dr Hashim Othman berkata memartabatkan bahasa Melayu dan mengembalikan kedaulatannya perlu dilakukan melalui aspek pengajaran dan pembelajaran, pembinaan istilah, penerbitan dan penterjemahan serta pembudayaan bahasa Melayu.

Ini adalah antara perkara yang terkandung dalam resolusi pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PPBMM yang bermesyuarat minggu lepas, katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini, Ahad.

Melalui aspek pengajaran dan pembelajaran, beliau berkata peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar semua mata pelajaran kecuali subjek pelbagai bahasa di sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) perlu dikembalikan seperti tahun 2003 selain guru dan pensyarah diberi latihan bagi membolehkan mereka menguasai bahasa Melayu.

Semua pelajar aliran sastera dan sains digalakkan mengambil subjek Kesusteraan Melayu sebagai mata pelajaran elektif untuk memupuk estetika, minat membaca dan memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu.

Dalam usaha pembinaan, penyelarasan, pemantapan istilah dan penterjemahan buku dalam semua bidang pengetahuan pula, penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Negara (ITN) serta IPTA perlu digerakkan semula secara aktif.

Selain itu penerbitan buku dan jurnal antarabangsa dalam bidang sains dan teknologi diusahakan secara giat melalui kerjasama dengan negara pengguna bahasa Melayu serantau.

Hashim yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata usaha perlu digiatkan supaya guru dan pensyarah menghasilkan penulisan mengikut bidang masing-masing untuk dimuatkan dalam pelbagai jurnal iktisas dengan ganjaran dan pengiktirafan setimpal.

Bagi membudayakan bahasa Melayu pula, antara langkah yang boleh dibuat termasuk memupuk rasa kebanggaan tulen terhadap bahasa dan budaya Melayu dengan dilakukan secara terancang, menyeluruh dan berkesan yang melibatkan semua pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, penerbitan buku , filem, perisian komputer, komik, video dan seumpamanya dalam semua bidang ilmu dan seni digiatkan untuk mengembangkan budaya membaca dan belajar selain mempelbagaikan kegiatan kebahasaan kreatif dan inovatif perlu disusun dan dilaksanakan bagi memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu di kalangan generasi muda.

PPBMM juga mencadangkan supaya pemantauan terhadap pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada setiap peringkat pendidikan dilakukan oleh sebuah unit khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Mengenai bahasa Inggeris, PPBMM berharap penguasaan bahasa itu pada semua peringkat pendidikan perlu dipertingkatkan melalui strategi serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang tepat dengan menjadikannya sebagai mata pelajaran wajib lulus.

Katanya resolusi itu juga difakskan kepada Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, Menteri Luar yang juga Penaung PPBMM, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA).

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.